PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merujuk dua kertas siasatan yang dikaitkan dengan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam tempoh terdekat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, tindakan itu diambil selepas rakaman percakapan Azam diambil mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Katanya, rakaman percakapan itu berkaitan dua kertas siasatan iaitu penerbitan artikel oleh Bloomberg.com yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah mengenai pemilikan saham Velocity Capital Partner Berhad.
“Kes kedua pula membabitkan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan ugutan jenayah terhadap seorang individu awam bernama Albert Tei,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Jelasnya, kedua-dua kertas siasatan berkenaan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan bagi mendapatkan nasihat dan arahan lanjut.
“PDRM menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini yang berpotensi menjejaskan atau mengganggu proses siasatan.
“PDRM komited memastikan ketelusan dan integriti siasatan sentiasa diutamakan bagi menjamin keadilan serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang,” jelasnya.
Sementara itu, Azam Baki memaklumkan, beliau hadir ke Bukit Aman untuk dirakam keterangan selama dua jam berhubung dakwaan dibuat oleh Albert Tei.
Katanya, beliau turut mengemukakan bukti kepada pegawai penyiasat bahawa dirinya tidak pernah bertemu Albert atau berurusan secara langsung dengan ahli perniagaan itu.
Azam turut memaklumkan, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menyampaikan notis tindakan undang-undang secepat mungkin kepada ahli perniagaan berkenaan.
“Peguam akan serah notis secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN










