JOHOR BAHRU: Majoriti rakyat negeri ini mahukan kerajaan negeri yang bukan sahaja stabil, tetapi mampu memastikan Johor berjaya mencapai sasaran ditetapkan iaitu menjadi negeri maju menjelang 2030 dengan peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat tempatan.
Harapan sama disuarakan pelbagai golongan termasuk warga emas dan golongan muda berlainan latar belakang kaum dan agama ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini semalam.
Seorang pekerja swasta, Dorcas Tew Rou Sheng, 36, berkata, dia mahukan kerajaan negeri yang stabil tanpa banyak pertelingkahan politik bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan.
Katanya, beliau juga mahukan sasaran ditetapkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi inisiatif Maju Johor tercapai.
“Sebagai rakyat Johor, kita tahu banyak yang telah dirancang di negeri ini dan majoritinya masih belum tercapai, kebanyakannya masih separuh jalan.
“Jadi bagi saya, saya mahu lihat semua sasaran itu tercapai. Saya bimbang jika berlaku pertukaran kerajaan negeri lain, banyak pembangunan akan terbantut atau gagal dilaksanakan,” katanya pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol.

Seorang penuntut, R. Umesh, 20, pula berharap, peluang pendidikan dan pekerjaan akan terus menjadi keutamaan kerajaan khususnya bagi membolehkan golongan muda mendapat masa depan lebih baik.
“Kita tahu sekarang masih ramai golongan gagal mendapatkan pendidikan kerana kekangan ekonomi keluarga, jadi harapan saya agar kerajaan melihat perkara itu dan memberikan lebih banyak bantuan pendidikan dari sekolah rendah hingga universiti.
“Selain itu, saya harap peluang pekerjaan yang wujud kerana kemasukan pelaburan asing mengutamakan pengambilan rakyat tempatan, ini pasti akan dapat tingkatkan ekonomi masyarakat,” katanya yang akan mengundi buat pertama kali pada PRN Johor akan datang.
Bagi pesara kerajaan, Minati Hamir, 73, dia berharap kestabilan politik serta keharmonian hidup bermasyarakat yang dinikmati rakyat Johor selama ini akan terus berkekalan.
“Kita bimbang juga kerana banyak pertelingkahan berlaku dalam kalangan masyarakat kebelakangan ini, jadi saya harap rakyat Malaysia khususnya di Johor dapat terus hidup dengan aman dan damai.
“Jadi kerajaan negeri perlu terus berikan penekanan terhadap keseimbangan hidup antara pembangunan infrastruktur serta kesejahteraan hidup rakyat. Jika hidup rakyat sejahtera InshaAllah negeri dan negara kekal aman,” katanya yang mengundi di DUN Larkin. – UTUSAN










