KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mengingatkan supaya tidak berlaku kacau-ganggu dengan memberi ruang kepada Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah memimpin kerajaan negeri sehingga akhir penggal.
Baginda bertitah, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu meletakkan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi.
Tuanku Syed Sirajuddin turut menyeru seluruh ADUN memberikan kerjasama erat dan berterusan kepada Menteri Besar bagi memastikan kelancaran pentadbiran serta keberkesanan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.
Titah baginda, segala perbezaan pandangan dan pertelagahan perlu diselesaikan dengan penuh berhemah dan harmoni.
“Kestabilan politik merupakan satu kriteria sangat penting yang akan memberi kesan kepada keyakinan pelabur melabur di negeri ini. Justeru beta menyeru, ahli-ahli yang berhormat sekalian agar mengenepikan ego masing-masing dan mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri beta.
“Beta juga ingin mengingatkan ahli-ahli yang berhormat sekalian bahawa kerajaan ini adalah kerajaan beta. Justeru, beta berharap agar mamanda Menteri Besar diberikan ruang untuk terus memimpin sehingga ke akhir penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 tanpa sebarang kacau-ganggu yang akan merencatkan segala perancangan yang telah dirangka,” titah baginda sempena perasmian penggal persidangan keempat DUN Perlis ke-15 di Kompleks Seri Putra di sini semalam.
Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Baginda seterusnya mahu sidang DUN digunakan sebaiknya dengan berhujah dan berbahas penuh kebijaksanaan tanpa terpengaruh desakan emosi.
Titah baginda, sidang DUN sewajarnya dimanfaatkan sebagai platform terbaik untuk menjana idea-idea baharu, bernas dan konstruktif ke arah memajukan Perlis serta memperkukuh kesejahteraan rakyat secara berterusan, bukan sebagai medan bercakaran atau bertikam lidah.
“Sentiasalah beringat bahawa generasi muda sedang memerhatikan setiap gelagat ahli-ahli yang berhormat sekalian,” titah baginda.
Baginda bertitah, dalam memastikan kesejahteraan negeri terpelihara, kerajaan negeri perlu sentiasa mengekalkan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan.
“Beta merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Perlis atas komitmen dan usaha berterusan pentadbiran beliau dalam menjalinkan hubungan yang baik, khususnya dalam aspek pembangunan serta pelbagai bentuk sokongan demi kepentingan rakyat negeri Perlis.
“Beta juga ingin menzahirkan tahniah kepada Menteri Besar yang telah memperkenalkan inisiatif penubuhan Pelan Peneraju Perlis Progresif (Peneraju) 2030 baru-baru ini. Usaha ini dilihat sebagai satu langkah proaktif bagi menambah baik ekosistem pelaburan tempatan agar Perlis terus berdaya saing dan dikenali sebagai sebuah negeri yang mesra pelabur,” titah baginda. – UTUSAN










