LOS ANGELES: Rekod Dunia Guinness bagi aktiviti melontar dan menangkap pedang api paling banyak dalam masa seminit akhirnya dipecahkan seorang lelaki dari Idaho baru-baru ini.
Lapor portal UPI, David Rush menerima pengiktirafan itu selepas berjaya melempar dan menangkap pedang api sebanyak 135 kali dalam tempoh yang ditetapkan.
Rush sebelum ini mencatatkan rekod dunia selepas melakukan 67 tangkapan pedang api dalam masa seminit.
Bagaimanapun, rekod itu dirampas oleh penghibur sarkas, Tyler `Spades’ Macklin yang melempar dan menangkap pedang api sebanyak 104 kali dalam masa satu minit.
Sebelum ini, Rush pernah memecahkan lebih 250 Rekod Dunia Guinness untuk mempromosikan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Sementara itu, Rush berkata, dia terpaksa berlatih selama dua hari untuk meraih gelaran tersebut.
Katanya, ketika melakukan aksi itu, jumlah lontaran dan tangkapan pedang api mencecah sebanyak 136 kali.
“Namun, rakaman video mendedahkan tangkapan terakhirnya tidak sempat dihabiskan dalam tempoh seminit,” katanya.