KUALA TERENGGANU: Pelarasan tarif air penting bagi membolehkan kerja-kerja penggantian paip-paip lama dan penaiktarafan sistem bekalan air secara menyeluruh di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu juga dapat memastikan perbelanjaan modal syarikat air negeri dapat dioptimumkan untuk operasi jangka panjang yang lebih berkesan.
“Pelarasan ini membolehkan operasi syarikat dan perbelanjaan modal dilaksanakan di Terengganu, termasuk penggantian paip-paip lama serta kerja-kerja menaik taraf kemudahan air yang diperlukan,” katanya mengulas kenyataan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang mengesahkan menerima permohonan pelarasan tarif air daripada 10 negeri termasuk Terengganu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, permohonan Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) untuk menyemak semula kadar tarif semasa adalah satu langkah tepat ke arah kelestarian perkhidmatan air.
“Ia membuktikan komitmen bersama antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menyelesaikan isu berkaitan bekalan air, terutama melibatkan penaiktarafan aset uzur dan penggantian paip lama.
“Usaha ini penting untuk mengekalkan tahap perkhidmatan yang memuaskan dan mengelakkan gangguan kepada pengguna,” katanya.
Kata beliau , pelarasan itu tidak membebankan rakyat, sebaliknya memberi pulangan dalam bentuk perkhidmatan bekalan air yang lebih berkualiti, mampan dan konsisten.
“Kerajaan negeri berharap permohonan ini mendapat pertimbangan sewajarnya demi kelangsungan bekalan air yang stabil dan efisien untuk pembangunan negeri,” katanya.
Sebelum ini, SPAN memaklumkan pihaknya sedang meneliti permohonan semakan tarif daripada 10 operator di bawah kawal selian mereka iaitu Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang. – UTUSAN










