KUALA LANGAT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sedang mengkaji keperluan bagi menjenamakan semula projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) kepada RMR 2.0 bagi menyelesaikan masalah lambakan permohonan sedia ada.
Menurut Timbalan Menteri KPKT Datuk Aiman Athirah Sabu, inisiatif tersebut akan memberi peluang kepada pemohon untuk membuat pembelian kediaman bernilai RM55,000 secara tunai berbanding ansuran RM300 selama 16 tahun menggunakan konsep tanpa faedah.
“Saya difahamkan permohonan sangat banyak sehingga mencecah 3,000 ke 5,000 permohonan yang layak setiap tahun, jadi KPKT akan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk menambah peruntukan bagi menampung senarai menunggu yang semakin bertambah.
“Jadi sekiranya ada pemohon yang mampu untuk membeli secara tunai, kerajaan hanya perlu membayar subsidi berjumlah RM20,000 berbanding peruntukan penuh RM75,000 bagi setiap rumah dan ia akan mempercepatkan proses pembinaan,” katanya kepada pemberita pada Program Taklimat & Penyerahan Kunci RMR Kepada 10 Penerima di Kampung Sungai Kelambu di sini hari ini.
Katanya lagi, setakat ini sebanyak 771 unit RMR sedang giat disiapkan di seluruh negara sekali gus mencapai separuh daripada 5,000 unit yang disasarkan SPNB sepanjang tahun 2025 tidak termasuk 13,000 permohonan yang layak dan sedang menunggu.
Mengulas lanjut mengenai kos harga barang binaan, Aiman Athirah memaklumkan kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan harga kediaman RMR kerana SPNB mempunyai pelbagai mekanisme termasuk sistem binaan berindustri (IBS) untuk menampung kos terbabit.
“Itulah kebijaksanaan SPNB menghadapi isu kos bahan binaan tanpa perlu menaikkan harga kediaman RMR dan dalam masa sama mampu meningkatkan lagi kualiti binaan serta reka bentuk yang lebih menarik berbanding sebelum ini,” katanya.-UTUSAN










