SEOUL: Ribuan pelajar perubatan di Korea Selatan bakal kembali ke bilik kuliah selepas menjalani boikot selama 17 bulan, menurut satu badan industri perubatan pada Isnin sekaligus menandakan berakhirnya sebahagian daripada krisis kesihatan yang turut menyaksikan mogok besar-besaran oleh doktor pelatih.
Sistem penjagaan kesihatan Korea Selatan mula lumpuh awal tahun lalu apabila bekas Presiden, Yoon Suk-yeol mencadangkan peningkatan mendadak dalam pengambilan pelajar perubatan.
Beliau berkata langkah itu penting untuk menampung permintaan tinggi terhadap perkhidmatan kesihatan, terutama dalam masyarakat yang semakin menua.
Namun, cadangan itu menerima bantahan hebat. Doktor pelatih meninggalkan hospital, pelajar memboikot kelas, operasi terpaksa dibatalkan dan perkhidmatan kesihatan terganggu di seluruh negara.
Selepas tekanan berterusan, kerajaan akhirnya bersetuju untuk memansuhkan langkah itu bermula Mac 2025. Ketika itu, Yoon telahpun digulingkan selepas dipecat susulan tindakan kontroversinya mengisytiharkan undang-undang tentera.
“Pelajar telah bersetuju untuk kembali ke sekolah,” kata jurucakap Persatuan Perubatan Korea pada Isnin sambil menambah bahawa terpulang kepada setiap universiti perubatan untuk menetapkan jadual kemasukan semula.
Persatuan Pelajar Perubatan Korea sebelum ini menyatakan keputusan itu dibuat kerana tindakan boikot yang berpanjangan boleh menyebabkan keruntuhan sistem asas perubatan negara.
Dianggarkan seramai 8,300 pelajar akan kembali ke kampus, namun belum ada jadual khusus diumumkan.
Perdana Menteri Kim Min-seok menyambut baik keputusan tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah besar ke hadapan dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad. Presiden baharu, Lee Jae-Myung, dikatakan sedang mempertimbangkan langkah penyelesaian menyeluruh bagi isu ini.
Selain boikot pelajar, kira-kira 12,000 doktor pelatih turut melancarkan mogok tahun lalu dengan kebanyakan mereka masih enggan kembali bertugas sehingga kini.
Jae-myung, yang memenangi pilihan raya mengejut pada Jun selepas pemecatan Suk-yeol, pernah berjanji semasa kempen untuk menyelesaikan krisis kesihatan yang berlarutan itu.
Peningkatan jumlah kemasukan ke sekolah perubatan sebelum ini turut menyebabkan lonjakan dalam jumlah calon yang menduduki semula peperiksaan kemasukan universiti pada November kerana perubahan dasar tersebut menjadikan pengambilan dalam jurusan perubatan lebih mudah dicapai.










