Kerajaan tidak berniat kawal Majlis Media Malaysia

Kerajaan tidak berniat kawal Majlis Media Malaysia

FAHMI Fadzil (lima dari kiri) bergambar dengan penerima selepas menyampaikan watikah pelantikan pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Sebagai Anggota Lembaga Pengasas MMM di Kementerian Komunikasi, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak ada niat untuk campur tangan atau mengawal peranan Majlis Media Malaysia (MMM).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, namun daripada aspek perundangan atau pendanaan, kementeriannya akan membantu bagi membolehkan MMM bergerak lebih lancar terutama pada tahun-tahun awal penubuhan.

“Saya lihat di masa depan tak mustahil MMM boleh beroperasi secara sepenuhnya dan berdikari, itu tidak menjadi masalah dan terpulang kepada lembaga pengasas kelak untuk mempertimbangkan metode, apakah cara-caranya.

“Tapi sekiranya perlu, semestinya pihak kerajaan akan sentiasa mendampingi untuk membantu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan sebagai Anggota Lembaga Pengasas MMM di sini, hari ini.

Fahmi menyampaikan enam daripada 12 watikah kepada anggota lembaga pengasas MMM yang dilantik berdasarkan kepakaran, pengalaman dan sumbangan dalam bidang kewartawanan, media, akademik dan komunikasi.

Pelantikan itu susulan penggubalan Akta MMM 2025 yang mula berkuat kuasa pada 14 Jun lalu.

MMM akan berperanan sebagai badan kawal selia yang memperkasakan industri media di Malaysia.

Fahmi berkata, dalam memilih lembaga pengasas, beliau dan pasukan meneliti serta mempertimbangkan pelbagai aspek termasuk komposisi pelbagai kaum, jantina, negeri, wilayah dan latar belakang.

“Kerana kita lihat hanya lembaga pengasas yang mempunyai kerencaman dan kepelbagaian, maka industri media yang rencam dan pelbagai boleh diwakili dengan baik.

“Harapan kita bahawa lembaga pengasas ini akan dapat memacu pembentukan MMM yang mampan, berdaya saing, benar-benar berdikari dan mampu mengemudi industri media yang penuh pancaroba dan dugaan.

“Dan membolehkan Malaysia memasuki satu era di mana bukan hanya media yang bebas (tetapi) juga lebih beretika dan bertanggungjawab serta mempunyai satu kemampuan untuk mendepani zaman media sosial dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×