Kenyataan fitnah, laporan polis dibuat terhadap Muhyiddin

Kenyataan fitnah, laporan polis dibuat terhadap Muhyiddin

MUHAMMAD Kamil Abdul Munim menunjukkan laporan polis berhubung kenyataan fitnah Muhyiddin Yassin terhadap Perdana Menteri di IPD Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di sini hari ini susulan kenyataan fitnah dibuat Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, Muhyiddin sebelum ini mendakwa keputusan mendakwa dibuat lebih awal oleh pihak paling berkuasa dalam pentadbiran negara sebelum siasatan dilengkapkan.

Beliau berkata, kenyataan Muhyiddin itu menunjukkan bahawa beliau menuduh pendakwaan dibuat atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggunakan agensi penguat kuasa sebagai alat untuk mendakwa.

“Beliau (Muhyiddin) menyatakan pendakwaan yang dibuat itu suatu pendakwaan terpilih, bermotif politik dan suatu bentuk penganiayaan yang memberi gambaran bahawa wujudnya unsur campur tangan dalam proses itu.

“Justeru, saya hadir hari ini untuk membuat satu laporan polis terhadap Muhyiddin atas kenyataan beliau sejurus beliau didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat lalu,” katanya ketika ditemui di luar IPD Putrajaya, hari ini.

Katanya, kenyataan yang dilemparkan itu adalah suatu tohmahan dan fitnah untuk mencipta persepsi negatif yang tidak baik terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

“Kalau kita lihat dalam banyak siri kenyataan dikeluarkan Anwar bahawa kerajaan hari ini di bawah pimpinannya tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan kes rasuah.

“Malah, tindakan yang dibawa pihak berkenaan untuk mendakwa mana-mana pihak dibuat berdasarkan bukti yang jelas, fakta dan dapatan daripada agensi yang menjalankan siasatan,” katanya.

Katanya, pada 10 Mac lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan diambil terhadap bekas Perdana Menteri itu adalah bebas tanpa sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak.

Jelasnya lagi, ia sekali gus penting untuk menunjukkan bahawa dua agensi itu melakukan siasatan dan tindakan dengan bebas dan berintegriti berdasarkan kepada fakta yang diperoleh hasil siasatan.

Tambah Muhammad Kamil, kenyataan dikeluarkan Muhyiddin adalah bersifat fitnah yang serius dan tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja dan perlu ada tindakan tuntas oleh pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan yang dikeluarkan itu.

Sebelum ini, Muhyiddin pada Jumaat lalu dilaporkan berkata, beliau mendakwa pendakwaan terhadapnya sudah dirancang pihak paling berkuasa dalam pentadbiran negara sebelum siasatan dilengkapkan.

Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa atas enam pertuduhan membabitkan empat kesalahan kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

Hari ini, beliau sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan terbabit aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta, awal tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.