Bila tarikh siap Residensi Hektar?

Bila tarikh siap Residensi Hektar?

PEMBELI Pangsapuri Residensi Hektar, Jalan Gombak, Kuala Lumpur masih ternanti-nanti kediaman mereka ibarat tiada sinar untuk siap seperti dijadual.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pembeli unit pangsapuri Residensi Hektar, Jalan Gombak di ibu negara terus dirundung kekecewaan selepas kediaman yang diidam-idamkan mereka ibarat tiada sinar untuk siap seperti dijadual.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pembeli yang enggan namanya disiarkan berkata, tarikh asal bagi proses penyerahan kunci projek perumahan itu adalah pada Mei 2022, namun ia telah ditunda sebanyak dua kali iaitu pada Oktober 2022 dan 19 Mac ini.

Katanya, jika negara tidak dilanda pandemik Covid-19, projek perumahan tersebut sepatutnya siap pada Disember 2021.

“Kami minta tiga perkara utama iaitu pekerja (pembinaan) masuk segera dan buat kerja-kerja di tapak projek serta memohon pihak bank untuk mengembalikan bayaran faedah progresif yang rendah ekoran ramai pembeli sudah membuat bayaran penuh.

“Selain itu, kami menggesa pemaju projek perumahan untuk memberikan satu tarikh siap yang sebenar,” katanya ketika semalam.

Katanya, para pembeli projek perumahan tersebut kini dihimpit dengan beban kewangan tinggi apabila terpaksa menanggung sewa rumah yang dihuni serta membayar ansuran bulanan.

Menurutnya, pembeli turut memohon tindakan proaktif Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memantau projek berkenaan sehingga ia disiapkan dan diserahkan kepada pembeli.

Sementara itu, Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika ditemui semalam berkata, beliau telah memanggil pihak-pihak yang berkenaan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai projek perumahan tersebut.

“Macam kes ini bila berlaku kelewatan dan sebagainya, (jadi) untuk mengatasi perkara yang menyebabkan lewat itu bukan mudah, cuma dengan penglibatan kita cuba secepat yang mungkin sebelum lebih parah.

“Berdasarkan pengamatan, kita lihat projek itu akan jadi ‘sakit’ kerana pada 18 Mac ini untuk disiapkan itu mungkin tak dapat penuhi (dan) tak sempat siap. Tetapi bila dah berlaku, maka pemaju pun akan ada beban. Mengikut undang-undang mereka dah terikat dengan penalti LAD dan kemudian para pembeli juga akan menghadapi masalah dari segi komitmen yang telah dibayar,” katanya.

Projek perumahan Residensi Hektar itu berkonsepkan seni bina Islam yang melibatkan sebanyak 2,400 unit dengan setiap unit kediaman berkeluasan 800 kaki persegi dan 850 kaki persegi, masing-masing dijual pada harga RM266,000 hingga RM299,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya