DAP Johor kesal Marina pilih undur diri - Utusan Malaysia

DAP Johor kesal Marina pilih undur diri

Teo Nie Ching
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: DAP Johor menyatakan kekesalan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim yang membuat keputusan meninggalkan politik sekiranya strategi tertentu diambil parti tersebut menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) telah mengecewakannya.

Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, sebarang keputusan diambil kepimpinan adalah dibuat setelah mengambil kira strategi terbaik bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Pakatan Harapan (PH) di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi.

“Sebagai seorang rakan seperjuangan dan juga Pengerusi DAP Johor, saya berasa amat berat hati apabila Marina memilih untuk meninggalkan arena politik pada ketika ini.

“Sekiranya sebarang perbincangan berkaitan strategi PRN Johor telah menimbulkan rasa kurang senang atau mengguris hati beliau dalam apa cara sekalipun, saya ingin merakamkan rasa kesal secara terbuka,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Terdahulu, tular satu surat mendakwa Marina membuat keputusan mengundurkan diri daripada politik selepas diminta untuk berpindah ke kerusi DUN Tiram dan bukan sebaliknya kekal di kerusi DUN Skudai walaupun telah menabur bakti di kawasan berkenaan, sebelum ini.

Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi turut memberitahu, beliau tetap menghargai keputusan Marina apabila sanggup mengambil langkah taktikal demi kepentingan parti.

“Sebagai pengerusi parti, menjadi tanggungjawab saya untuk merangka strategi terbaik bagi menghadapi PRN Johor yang bakal diadakan. Terima kasih atas jasa dan komitmen diberi kepada penduduk sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Walaupun memilih untuk berundur dari arena politik, saya yakin akan ada banyak lagi ruang dan peluang pada masa hadapan untuk kita bekerjasama demi kebaikan masyarakat dan negara,” katanya.

Marina dalam satu kenyataan memberitahu, keputusan untuk tidak bertanding semula dan berundur sepenuhnya daripada arena politik tanah air dibuat selepas mengambil kira pandangan bersama keluarga serta rakan terdekat.

Beliau dilaporkan memilih untuk kembali aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan di peringkat lapangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN