Isu daftar masuk lewat, Birkin International Hotel kesal, mohon maaf - Utusan Malaysia

Isu daftar masuk lewat, Birkin International Hotel kesal, mohon maaf

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah hotel di Melaka memohon maaf kepada tetamu yang terjejas susulan masalah daftar masuk di hotel tersebut sehingga mencetuskan rungutan dalam kalangan pelanggan.

Pihak pengurusan Birkin International Hotel berkata, pihaknya kesal dengan masalah yang berlaku ketika proses daftar masuk sehingga menyebabkan sebahagian tetamu terpaksa menunggu lama.

Katanya, masalah itu berpunca daripada gangguan sistem luar jangka yang menyebabkan berlakunya tempahan berlebihan (overbooking) sehingga menyebabkan penyediaan bilik mengambil masa lebih lama daripada biasa.

“Kami mengakui cabaran yang dialami ketika proses daftar masuk baru-baru ini dan memohon maaf kepada tetamu yang terjejas.

“Kami telah mengaktifkan segera protokol bayaran balik dan pampasan menyeluruh bagi membantu semua tetamu yang terjejas,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook oleh seorang pengguna yang mendakwa mengalami pelbagai masalah sepanjang menginap di hotel berkenaan bersama keluarganya.

Menerusi hantaran itu, individu tersebut mendakwa terpaksa menunggu kira-kira lima jam sebelum memperoleh akses ke bilik walaupun telah tiba untuk daftar masuk pada petang 29 Mei lalu.

Menurutnya, pihak hotel pada mulanya memaklumkan bilik masih belum siap disebabkan kelewatan kerja-kerja pengemasan sebelum meminta mereka kembali semula beberapa jam kemudian atau membatalkan tempahan.

“Disebabka kelewatan itu, suasana di kaunter hadapan hotel kelam-kabut dan ramai tetamu tidak berpuas hati. Bantuan daripada pihak pengurusan juga sukar diperoleh ketika kejadian berlaku.

“Selain itu, bilik yang diterima tidak dibersihkan sepenuhnya, kad akses bilik mengalami masalah serta terdapat isu berkaitan kawalan akses keselamatan ke tingkat penginapan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN