KOTA BHARU: Kerjasama politik Pas dengan parti-parti lain tidak pernah dibuat secara semberono, sebaliknya diperhalusi dari pelbagai aspek sebelum mendapat panduan Majlis Syura Ulama.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan menyaksikan Pas tidak pernah rugi dalam soal kerjasama politik.
“Kita perhalusi satu persatu, kita meneliti satu per satu, kita semak semua aspek. Lalu kita serah kepada panduan daripada Majlis Syura Ulama.
“Prinsip itu penting bagi memastikan kerjasama politik yang dibentuk bukan sekadar berorientasikan kemenangan atau usaha untuk menguasai Putrajaya,” katanya semasa menyampaikan ucapan sempena sambutan Jubli Intan 75 Tahun Pas di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa di sini sebentar tadi.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu memberitahu, pengalaman Pas bekerjasama dengan pelbagai parti sebelum ini membuktikan pendekatan berkenaan memberi manfaat kepada perjuangan parti.
“Kerjasama Angkatan 46, bersama Semangat 46 kita berjaya tawan Kelantan. Bersama Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat kita kuasai Terengganu dan Kedah.
“Insya-Allah, kerjasama kita bersama rakan-rakan strategik parti termasuk Barisan Nasional (BN) dan UMNO, kita yakin muafakat ini akan menguntungkan kita bersama dalam menerajui kepimpinan bagi mengambil alih pentadbiran Putrajaya,” ujarnya.
Tuan Ibrahim berkata, Pas sentiasa mengalu-alukan parti-parti baharu yang mahu bekerjasama dengan parti itu, namun kerjasama berkenaan perlu berlandaskan prinsip perjuangan yang dibawa.
Katanya, Pas bukan sebuah parti yang hanya bersikap pragmatik dengan matlamat semata-mata untuk menang dalam pilihan raya.
“Kalau sekadar nak menang, nak pergi Putrajaya, bukan benda yang payah. Bergabung dengan mana-mana parti, tak kira nak capai ke mana, tak kira nak sampai ke mana bentuk, tapi kita tidak.
“Kerana kita berpegang dengan apa yang disebut oleh Allah Taala. Ada kaedah yang Allah atur untuk kita, sama ada dalam konteks tahaluf siasi, apatah lagi tahaluf siasi,” katanya.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim mengingatkan seluruh anggota dan pimpinan Pas supaya melakukan semakan terhadap amalan peribadi masing-masing agar tidak menjadi penghalang kepada kemenangan Islam.
Katanya, pimpinan di semua peringkat parti perlu menjaga amalan termasuk tidak meninggalkan solat berjemaah dan al-Quran.
“Jangan kerana kita jadi penghalang kepada kemenangan Islam. Semak amalan peribadi masing-masing, khususnya pimpinan di semua peringkat parti.
“Jangan tinggal sembahyang berjemaah. Jangan tinggal al-Quran. Dan yakinlah Allah tolong kita bila kita menolong agama Allah,” katanya.
Beliau berkata, matlamat perjuangan Pas bukan sekadar mencapai kemenangan, sebaliknya memastikan kemenangan itu diisi dengan roh Islam serta berusaha membuang nilai yang bercanggah dengan syarak.-UTUSAN










