Beri lesen aktviti REE, Kerajaan Persekutuan diminta siasat

Beri lesen aktviti REE, Kerajaan Persekutuan diminta siasat

MAHADZIR Abdul Hamid (baju merah) menyerahkan memorandum berhubung kecurian dan salah guna kuasa Kerajaan Negeri Kedah berkaitan REE kepada Chan Ming Kai di luar Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan diminta menyiasat tindakan Kerajaan Negeri Kedah meluluskan lesen kepada sebuah syarikat untuk melaksanakan kegiatan pengambilan unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, Kedah.

Pengerusi Yayasan Jariah Malaysia, Mahadzir Abdul Hamid berkata, pemberian lesen bagi pengeluaran mineral adalah membelakangi akta dan undang-undang negara kerana ia merupakan bidang kuasa di bawah Kerajaan Pusat dan bukannya kerajaan negeri.

Beliau berkata, terdapat banyak keraguan berbangkit berhubung kegiatan tersebut lebih-lebih lagi apabila sebarang kerja pengambilan, cari gali, atau pengeluaran hasil mineral negara sepatutnya terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat.

“Sudah dua kali tangkapan dilakukan pihak berkuasa berhubung kes kecurian REE ini yang kita jangkakan mencecah ratusan juta ringgit berdasarkan tempoh kontrak yang diberikan kepada sebuah syarikat swasta pada Disember 2020 hingga tangkapan pertama pada September 2022.

“Namun Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor seolah-olah tiada inisiatif untuk melakukan siasatan lanjut dan lebih mengejutkan beliau maklumkan kecurian sekian lama itu hanya bernilai kira-kira RM300,000. Terbaharu, Kerajaan Negeri itu memberikan lesen pula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bersama Gabungan Aman Sejahtera berhubung kecurian dan salah guna kuasa Kerajaan Negeri Kedah berkaitan REE itu kepada Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai di luar Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Memorandum tersebut bagi meminta campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan dan perhatian khusus berkenaan masalah kecurian khazanah negara itu.

Menurut Mahadzir, kawasan berlaku jenayah kecurian REE ini juga terletak dalam kawasan pentadbiran Dewan Undangan Negeri (DUN) Menteri Besar Kedah sendiri, oleh itu beliau sepatutnya lebih sensitif berhubung isu tersebut.

Justeru, pihaknya memohon Kerajaan Pusat menubuhkan satu tribunal siasatan khas atau suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat isu besar ini serta mengheret sesiapa sahaja sama ada penjenayah atau dalang terlibat ke muka pengadilan.

Pada 14 Februari lalu, enam pihak dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kecurian REE itu di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik.

Menurut Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap, SPRM mencadangkan kepada pihak Setiausaha Kerajaan (SUK) untuk mengaktifkan jawatankuasa itu bersama Jabatan Integriti dan Tadbir Urus (JITU) dengan memanggil pihak agensi yang berkenaan untuk tindakan dan perbincangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya