‘Kita akan lawan sampai rapat dinding’

‘Kita akan lawan sampai rapat dinding’

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keputusan mahkamah terhadap kes penutupan premis judi di Kedah mungkin akan memihak kepada kerajaan negeri sekiranya terdapat undang-undang lain berbanding peruntukan sedia ada.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan maksud undang-undang lain tersebut, namun difahami ia adalah undang-undang Islam atau syariah yang menjadi perjuangan Pas selama ini.

Katanya, keputusan mahkamah menimbulkan persoalan terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan apabila pelaksanaan dasar berteraskan nilai Islam tidak dibenarkan dalam kerangka undang-undang sedia ada.

“Tugas hakim mentafsir undang-undang dan apabila ditafsir begitu, itulah keputusannya. Berdasarkan hujah-hujah yang dikemukakan dia akan buat keputusan dan kalau kita ada set undang-undang lain, tentu keputusan hakim berbeza.

“Undang-undang kita masih ‘kafir’, saya sebut kafir sebab kalau difahami perintah tuhan tentang perjudian, mentenung nasib dan arak, semua itu dosa besar tetapi tidak boleh dalam kerangka ini.

“Kes ini beri pengetahuan walaupun Islam agama Persekutuan, pelaksanaannya masih terikat dan terbatas. Tetapi kita tidak akan berhenti di situ, kita akan lawan sampai rapat dinding kerana kecewa memang ada,” katanya berucap pada Sambutan 41 tahun Pas Kawasan Sik, semalam.

Pada Jumaat lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria memberitahu Utusan Malaysia bahawa kerajaan negeri akan terus mempertahankan keputusan menutup premis judi dengan membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan selepas kalah di Mahkamah Rayuan pada 12 Disember lalu.

Sementara itu, Muhammad Sanusi menjelaskan, kerajaan negeri bertindak berdasarkan kuasa sedia ada apabila tidak memperbaharui lesen premis perjudian, selaras dengan dasar negeri itu.

“Kita sudah jadi kerajaan, kita boleh laksanakan apa yang kita mahu berdasarkan undang-undang sedia ada. Selaku kerajaan, kita perlu gubal dasar dan polisi kita jelas tidak lagi perbaharui lesen premis judi di Kedah.

“Namun, polisi ini dicabar 12 operator perjudian, dua daripadanya orang Kedah, selebihnya dari negeri lain yang beroperasi di sini. Kes itu dibawa oleh peguam dari DAP yang menentang kita di mahkamah,” katanya.

Tambah beliau, Kedah mencontohi pelaksanaan dasar sama seperti dipraktikkan di Kelantan dan Terengganu yang lebih awal menghalang peluasan aktiviti perjudian.

Beliau pada masa sama turut kesal apabila hak kerajaan negeri di bawah peruntukan Seksyen 9, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) iaitu kuasa bagi lesen premis dinafikan.

“Namun dikatakan negeri tidak boleh arah pihak berkuasa tempatan kerana ia entiti berdiri sendiri, tak boleh terima arahan kerajaan negeri walaupun Seksyen 9, Akta 171 menjelaskan kuasa itu, namun dalam isu judi negeri dikatakan melampaui kuasa Persekutuan,” katanya.

Ujar Muhammad Sanusi, perjuangan untuk memperbetul sistem perundangan dan politik negara agar selari dengan nilai Islam dan pada masa sama menjamin keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama akan terus diperjuangkan Pas dalam apa jua keadaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN