SEBELUM ini, saya menulis tentang isu tuntutan hak milik kerajaan negeri Kedah ke atas Pulau Pinang yang sudah berlarutan untuk satu tempoh terlalu lama. Ia perlu menemukan titik noktah melalui satu perintah mahkamah dan bukannya menerusi saluran politik.
Bagi saya, tidak boleh menyalahkan kerajaan negeri Kedah yang dikatakan berhasrat untuk menuntut kembali hak milik mereka dan pada waktu sama kerajaan negeri Pulau Pinang mempertahan serta menolak tuntutan berkenaan.
Tuntutan sama tapi berlainan fakta juga berlaku ke atas isu air mentah antara kedua-dua negeri berkenaan. Namun, hingga kini tiada titik kesudahan selain pertikaian politik semata-mata.
Dalam soal tuntutan hak milik berkenaan, 1.8 juta penduduk Pulau Pinang mengharapkan satu jawapan tuntas dari sudut perundangan tentang keabsahan mengenai status sebenar kedudukan Pulau Mutiara itu.
Jika benar isu berkenaan dibawa ke mahkamah oleh kerajaan negeri Kedah maka suatu deklarasi melalui perintah mahkamah hendaklah diabsahkan samada kesemua lima daerah (Daerah timur laut, barat daya, seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan serta Perai Utara) atau sebahagian darinya masih kekal berstatus pajakan atau sebaliknya.
Sebagai anak jati Pulau Pinang yang naif dari sudut sejarah dan perundangan, kami berpandangan (mungkin kami terkhilaf) bahawa soal pajakan telah terbatal sebaik sahaja Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (PPTM) 1948 ditandatangani.
Ini membawa maksud bahawa Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.
Justeru itulah (selepas perjanjian PPTM) 1948 wujudnya Perkara 1(2) dan 1(4) yang mengesahkah negeri ini sebagai sebuah berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.
Berkemungkinan pertikaian soal perundangan akan difokuskan kepada dua isu berkenaan.
Walau bagaimanapun, diharapkan kes berkenaan yang bakal dikemukakan kepada pihak mahkamah tidak berakhir hanya sekadar suatu permohonan atau isu perundangan yang meremehkan serta tidak berperlembagaan. – UTUSAN
RAHMAD ISAHAK
Aktivis politik










