Mahkamah tolak rayuan Kerajaan Kedah sekat lesen premis judi, loteri

Mahkamah tolak rayuan Kerajaan Kedah sekat lesen premis judi, loteri

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini menolak rayuan Kerajaan Negeri Kedah untuk tidak memberi serta memperbaharui lesen premis perjudian dan loteri dengan alasan tindakan sedemikian adalah tidak berperlembagaan.

Dalam keputusan majoriti, Hakim Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Dr. Lim Hock Leng memutuskan rayuan tersebut tidak mempunyai merit.

Bagaimanapun, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi mempunyai pendapat yang berbeza. Tiada perintah kos diberikan.

Hakim Hock Leng berkata, urusan berkaitan perjudian dan loteri berada di bawah bidang kuasa Persekutuan iaitu Kementerian Kewangan memandangkan pelesenan ejen serta pengendali tertakluk kepada kawalan kementerian.

“Penolakan pembaharuan lesen ini seolah-olah mengambil alih kuasa Menteri Kewangan untuk mengenakan larangan menyeluruh terhadap aktiviti perjudian dan loteri,” katanya.

Sementara itu, Hakim Faizah berkata, tindakan Kerajaan Negeri Kedah mengharamkan premis perjudian dan loteri telah menceroboh bidang kuasa Persekutuan serta menjejaskan autoriti Menteri Kewangan di bawah Akta Pertaruhan Wang Terkumpul.

“Keadaan ini mewujudkan konflik sebenar antara kuasa negeri dan Persekutuan sebagaimana diperuntukkan di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang mentakrifkan bidang kuasa kedua-duanya,” katanya.

Dalam keputusan minoriti, Hakim Azizah berkata, rayuan tersebut sepatutnya dibenarkan kerana keputusan kerajaan negeri dibuat atas dasar awam.

Hakim Azizah merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang enggan memperbaharui lesen premis perjudian atas alasan kepentingan rakyat tanpa mengira agama.

“Namun, itu di luar bidang kuasa mahkamah,” kata Hakim Azizah.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi, Alor Setar pada 20 Jun lalu memutuskan tindakan Kerajaan Negeri Kedah menghentikan pembaharuan lesen premis perjudian berkuat kuasa 1 Januari 2023 sebagai ‘tidak sah’ dan ‘tidak munasabah’.

Keputusan itu dibuat susulan enam permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh ejen dan syarikat pertaruhan serta pegawai kanan syarikat terlibat bagi mencabar keputusan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN