ALOR SETAR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) meminta Kerajaan Negeri Kedah memberikan kerjasama penuh bagi menjayakan 38 projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kesemua projek bernilai RM4.38 bilion itu merupakan peruntukan pembangunan (DE) di bawah Rolling Plan 1 (RP1) RMK13.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kerjasama semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pentadbiran negeri amat penting bagi memastikan proses perancangan dapat diselesaikan segera.
“Jadi Datuk Bandar Alor Setar tolong sampaikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah untuk sama-sama bantu memantau dan bagi kerjasama kerana dua projek utama khususnya memerlukan kita untuk lantik perunding bagi menjalankan pemeriksaan tapak, penilaian teknikal serta penyediaan reka bentuk sebelum projek dapat bergerak ke peringkat seterusnya.
“Pelaksanaan fasa pertama sudah pasti agak kritikal untuk perancangan ini dapat disiapkan tahun ini supaya tender dapat disegerakan pada tahun mendatang,” katanya ketika merasmikan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan (RSTP) Kota Setar, di sini.
Menurut Fadillah, tujuh daripada 38 projek yang dirancang di Kedah merupakan projek baharu manakala baki 31 projek adalah berstatus sambungan.
“Jumlah peruntukan yang diluluskan bagi tempoh pelaksanaan di bawah RP1 tahun 2026 RMK13 bagi negeri Kedah adalah sebanyak RM253 juta.
“Antara projek baharu PETRA yang menjadi tumpuan adalah Pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Sungai Karangan di Kulim dengan kos RM496 juta dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Temin/ Bata di Kubang Pasu dengan kos RM290 juta,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak 21 projek disenaraikan di bawah Jabatan Pengairan Saliran (JPS) melibatkan kos RM1.99 bilion dengan peruntukan tahun ini sebanyak RM184 juta secara geran langsung.
“Projek di bawah Jabatan Bekalan Air (JBA) pula berjumlah RM2.07 bilion untuk 14 projek dengan peruntukan tahun ini RM59 juta bagi 11 projek yang dibiayai secara geran langsung dan RM5 juta bagi tiga projek yang dibiayai secara pinjaman.
“Manakala tiga projek di bawah Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP) pula melibatkan kos RM316 juta dengan peruntukan 2026 sebanyak RM5.5 juta secara geran langsung,” katanya. – UTUSAN










