KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad perlu lebih ‘garang’ dalam memainkan peranan membantu parti itu kekal diterima pengundi terutama wanita dan anak muda.
Seorang perwakilan sayap itu yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Miza berkata, kepemimpinan Ahli Parllimen Parit Sulong itu dilihat tidak begitu menyerlah dan selantang pimpinan terdahulu seperti Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Tan Sri Rafidah Aziz.
Mengakui sifat lembut Noraini disenangi ramai, namun katanya, pendekatan itu perlu diubah memandangkan UMNO kini berada dalam kritikal.
“(Pimpinan) Noraini ini seorang lemah lembut, tidak terlihat garang dan cara bercakap pun dengan nada lemah-lembut, yang sememangnya disukai wanita muda dan berumur, tetapi sekarang ini UMNO kalah.
“Namun, dalam masa sama, Noraini perlu dikekalkan menerajui Wanita UMNO sebab baru satu penggal. Satu penggal cuma tiga tahun, jadi kalau tiga tahun sudah mahu menampakkan kejayaan, itu tak adil bagi Noraini,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia, semalam.
DIPERSALAHKAN
Mengulas lanjut, Kak Miza yang aktif dalam sayap parti itu sejak 2004 berkata, Wanita UMNO bagaimanapun tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya susulan kekalahan terburuk parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, ini kerana lebih 75 peratus wanita yang berada dalam Jalinan Rakyat (JR) itu sudah berusia 45 tahun ke atas yang perlu diakui kelemahannya.
“Jadi sukar sikit bila mahu menguasai teknologi, ada JR pandai merayu undi, tetapi tak pandai dengan gajet. Bukan semua wanita tak boleh belajar, tetapi dari segi menangkis serangan media sosial, setengahnya tak ada Facebook atau TikTok, jadi tak boleh boleh jawab isu-isu itu.
“Oleh itu, faktor umur JR sebagai perayu undi itu jadi kelemahan kepada Wanita UMNO. Pemuda dan Puteri pun kurang mendekati golongan anak muda dan pelajar, banyak program dibuat bersama tetapi tak ada kesinambungan,” katanya.
Sementara itu, Noraini ketika sesi lawatannya ke meja Utusan Malaysia di Laman Media, Putra Dagangan Dunia di sini, masih belum menyatakan pendirian sama ada mahu mempertahan jawatannya sebagai Ketua Wanita UMNO atau sebaliknya. – UTUSAN










