JEMPOL: Kehadiran seorang pencuri mabuk yang tidur mengejutkan tuan rumah berkenaan kerana menyangka individu berkenaan adalah rakan kepada anaknya.
Kejadian berlaku di Taman Tanjung, Bahau, di sini, kira-kira pukul 6.15 pagi semalam.
Sin Kong Men, 66, berkata, ketika kejadian dia seperti biasa bangun dari tidur dan mahu keluar bersarapan di sebuah kedai yang terletak berhampiran dengan rumahnya itu.
Bagaimanapun, sebaik sahaja melalui bahagian tengah rumah, dia terkejut apabila terdapat seorang lelaki yang sedang terbaring dan seekor anjing berwarna hitam yang sedang menarik bahagian lengan baju lelaki itu.
“Saya sangkakan, rakan anak saya, tapi apabila lihat keadaan ruang tamu yang bersepah dan terdapat sebuah beg kertas yang mengandungi dua bilah pisau, pemutar skru, dua botol minuman keras dan sebuah tablet komputer berada bersama lelaki berkenaan.
“Minuman keras dan komputer itu merupakan barangan di rumah ini, saya syak lelaki ini telah minum minuman keras yang ada di dalam kabinet berkaca sehingga mabuk dan tertidur.
“Saya dan anak-anak cuba mengejutkan lelaki ini, namun tidak juga sedar. Tidak lama kemudian polis sampai dan mengambil masa hampir 30 minit untuk mengejutkan lelaki tersebut,” katanya.
Ujar Kong Men lagi, ketika kejadian terdapat lebih 10 orang di dalam rumah tersebut termasuk anak-anaknya yang pulang sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo
Chang Hook berkata, berdasarkan siasatan, suspek berusia 41 tahun dipercayai telah masuk ke dalam kawasan rumah dengan memanjat pagar tepi rumah dan masuk melalui pintu belakang rumah yang tidak berkunci.-UTUSAN










