KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan merogol anak perempuan tiri bawah umur antara Februari 2024 hingga Mac tahun lalu.
Tertuduh berusia 29 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa yang berusia 16 tahun dua bulan ketika kejadian, sedangkan hubungan antara mereka adalah dilarang di sisi undang-undang dan hukum agama.
Kesalahan itu didakwa berlaku di dalam sebuah bilik di sebuah rumah di Kuala Krai, antara pukul 2 pagi hingga 3 pagi, dalam tempoh dari 25 Februari 2024 hingga Mac 2025.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memutuskan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 29 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN










