KUALA LUMPUR: “Saya rasa seronok dan puas. Tiada kata yang boleh saya gambarkan perasaan ini. Usai persembahan, saya dapat berehat dengan tenang.”
Demikian kata penyanyi, Mimi Fly ketika berkongsi kejayaannya menghiburkan hati warga Filipina menerusi enam lagu hitsnya selepas berjaya menjadi wakil tunggal di ASEAN-Korea Music Festival, baru-baru ini.
Tambah Mimi, dia lebih terharu apabila penat lelahnya berhabis wang ringgit untuk menjayakan sebuah persembahan yang terbaik membuahkan hasil yang luar biasa.
“Segala perbelanjaan ke sana 100 peratus menggunakan duit saya. Dari pakaian, pasukan penari, tiket penerbangan dan kelengkapan semua itu saya laburkan untuk persembahan di sana.
“Diiringi 27 orang penari, saya ‘belasah’ sahaja menyanyikan lagu bahasa Melayu di hadapan mereka yang tidak faham bahasa itu. Satu stadium menjerit nama saya, malah saya mendapat ‘standing ovation’ daripada golongan VIP,” katanya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Angkat itu mengakui kejayaannya meloloskan diri ke peringkat antarabangsa tersebut secara tidak langsung mengubah cara pandangannya terhadap industri muzik.
“Saya sangat-sangat bangga dengan projek kali ini. Sangat berjiwa Nusantara ibarat semuanya tersusun kemas. Kadang-kadang apa yang kita rancang itu kita tidak dapat kerana Allah mahu beri yang lebih baik.
“Selepas mendapat maklumbalas yang baik, pandangan saya terhadap muzik dan ‘permainan’ saya dalam industri ini juga bertukar. Saya rasa hidup saya juga berubah.
“Kejayaan ini buat saya sedar yang sebenarnya saya boleh buat banyak lagi untuk bidang ini. Saya rasa dihargai. Saya boleh rasa bila orang kata muzik itu menyatukan kita,” luahnya.
Sebagai artis bebas, Mimi mengakui dirinya tidak kisah untuk melabur sejumlah wang ringgit yang besar nilainya demi kepuasan diri untuk berkarya.
“Saya tidak malu bergelar artis bebas sebaliknya saya bangga. Meskipun kerjaya saya tidak selaju mereka yang berada di bawah syarikat pengurusan, saya gembira apabila memiliki hak untuk membuat sebarang keputusan.
“Saya rasa itu sudah cukup bermakna untuk saya gelarkan diri saya sebagai ‘artis’ untuk berkarya. Dan saya juga boleh bekerja secara versatile,” ujarnya.
Terdahulu, Mimi tampil membawakan enam buah lagu hitsnya di ASEAN-Korea Music Festival di Filipina iaitu Nara, Serumpun, Superfly, Euphoria, Angkat dan Temberang.










