Pan Gon ada strategi sendiri 'perangkap' Thailand

Pan Gon ada strategi sendiri ‘perangkap’ Thailand

MALAYSIA dijangka bakal mengharungi tugas sukar di Bangkok menjelang separuh akhir kedua Piala AFF.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Apa sahaja strategi dan perancangan menjelang aksi separuh akhir kedua Piala AFF bertemu Thailand di Stadium Thammasat, hari ini, serahkan sepenuhnya kepada pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon kerana hanya beliau lebih arif tentang skuad bimbingannya.

Jurulatih berpengalaman, Muhammad Azraai Khor Abdullah berkata, pengendali Korea Selatan itu lebih mengetahui tentang strategi yang patut diterapkan, sama ada untuk mengekalkan corak permainan bertahan atau menyerang.

“Bagi saya kalau bertahan sekali pun perlu lah ada serangan balas, kita tidak boleh bertahan semata-mata dan dalam masa sama kita juga tidak boleh menyerang sahaja sehingga benteng kita terbuka luas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Harimau Malaya membawa bekalan tipis 1-0 ke tempat lawan menjelang separuh akhir kedua Piala AFF bertemu skuad bimbingan Alexandre Polking.

Menurut Azraai, bekalan satu gol memang tidak mencukupi, lebih-lebih lagi skuad kebangsaan perlu beraksi di laman lawan dan berdepan dengan penyokong Thailand.

Jelasnya, juara bertahan tersebut sudah tentu akan melancarkan serangan ke kubu Harimau Malaya secara bertubi-tubi dan kali ini, semangat mereka sudah tentu berbeza kerana penyokong berada di belakang.

“Kita sekarang perlu menentang ‘gajah yang cedera’, jadi, para pemain kita perlu mempamerkan 120 peratus komitmen di atas padang,” tegasnya.

Beliau memberitahu, siapa pun pemain yang dipertaruhkan dalam kesebelasan utama nanti merupakan pilihan terbaik jurulatih yang lebih mengenali prestasi semasa anak-anak buahnya.

“Tetapi saya memuji persembahan bek tengah, Sharul Nazeem Zulpakar yang menunjukkan peningkatan cukup ketara bersama skuad kebangsaan, dia beraksi cemerlang ketika menentang Thailand.

“Saya telah mula memerhatikan Sharul sejak Piala Presiden lagi, dia boleh dikatakan sebagai pemain muda yang sedang meningkat naik, saya juga perhatikan Pan Gon cukup berani mempertaruhkan pemain-pemain muda ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, Azraai turut menyuarakan kebimbangan terhadap layanan pengadil yang digelarnya sebagai ‘Men In Black’ terhadap Harimau Malaya.

“Saya bimbang dengan ‘Men In Black’ ini, pasukan kita kerap menjadi mangsa keputusan tidak adil, lebih-lebih lagi ketika kita bermain di tempat lawan.

“Semasa separuh akhir pertama pun kita sekali lagi jadi mangsa, gol yang patut dikira dibatalkan, sedangkan pemain kita langsung tidak menyentuh pemain lawan, tangan pun tidak dinaikkan, tapi kita dituduh menyiku lawan ,” jelasnya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.