KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Albert Tei menyatakan kesediaannya untuk menyahut cabaran debat terbuka yang dikemukakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali, yang lebih dikenali sebagai Syam Ghaz.
Albert berkata, dia mahu mengetahui butiran lanjut seperti lokasi, penganjur serta masa yang akan ditetapkan untuk sesi debat tersebut.
Albert turut menegaskan beliau bersedia untuk berdebat pada bila-bila masa dan berharap cabaran yang dibuat itu tidak ditarik balik.
“Saya sudah menyatakan pendirian dan bersedia. Saya harap cabaran ini diteruskan seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya ketika ditemui dalam Himpunan Gegar Tiktok di sini, hari ini.
Pada Khamis lalu, Mohd. Hisyamuddin membuat laporan polis terhadap Albert yang didakwa mengganggu ketenteraman selain mengeluarkan tuduhan tidak berasas terhadap Kementerian Komunikasi.
Laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya antaranya menggesa polis menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya.
Albert bersama beberapa individu secara tiba-tiba muncul pada sesi sidang media berkenaan dan mengajukan beberapa soalan kepada Mohd. Hisyamuddin antaranya bertanyakan apa bentuk gangguan yang dilakukannya.
Bagaimanapun, Mohd. Hisyamuddin sekadar berkata, beliau akan cuba menyediakan pentas supaya mereka boleh mengadakan debat.
Dalam pada itu, Albert turut memberikan satu amaran keras kepada platform media sosial TikTok agar tidak lagi menyekat kandungan yang menurutnya berkaitan dengan hak kebebasan bersuara rakyat Malaysia.
Albert berkata, tindakan sekatan yang dilakukan oleh TikTok telah menjejaskan hak kebebasan suara bukan sahaja pihaknya, malah masyarakat Malaysia secara keseluruhan.
“Kita bersedia untuk meneruskan penganjuran himpunan bantahan di hadapan ibu pejabat TikTok sekiranya sekatan terhadap kandungan mereka terus berlaku.
“Saya boleh katakan ini sebagai satu bentuk ‘perang’ dengan TikTok. Jika mereka terus menyekat, himpunan seperti Gegar TikTok 2 dan Gegar TikTok 3 mungkin akan dianjurkan lagi,” jelasnya.
Selain itu, Albert turut mempersoalkan sama ada tindakan yang diambil oleh TikTok mempunyai kaitan dengan arahan pihak kerajaan.
Bagaimanapun, dia mengakui kerajaan sebelum ini sering menegaskan bahawa keputusan berkaitan pengurusan kandungan adalah hak dan tanggungjawab platform itu sendiri.
“Saya seru TikTok supaya tidak mematuhi sebarang arahan yang didakwanya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Tindakan sekatan berterusan oleh platform tersebut boleh menjejaskan reputasi TikTok di mata masyarakat,” ujarnya.
Albert menegaskan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi dan menggesa agar sebarang bentuk tindakan yang dianggap mengekang kebebasan bersuara tidak diamalkan.-UTUSAN










