PETALING JAYA: Skuad badminton lelaki kebangsaan mudah membenam Mongolia 3-0 di peringkat 16 terbaik dan sekali gus mara ke suku akhir buat kali pertama selepas 12 tahun pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Aichi, Jepun, hari ini.
Walaupun hanya menghitung pertemuan dengan pasukan kerdil, Malaysia tetap menurunkan barisan terkuatnya dengan Leong Jun Hao yang diletakkan selaku perseorangan pertama tidak berdepan masalah mengetepikan Batdavaa Munkhbat 21-13, 21-12 bagi meletakkan skuad negara mendahului 1-0.
Mata kedua Malaysia pula diraih menerusi beregu No. 6 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang mudah menundukkan gandingan No. 1 Mongolia, Battugs Bayarsaikhan-Bishrelt-Erdene Odbayar 21-5, 21-5.
Perseorangan kedua, Justin Hoh memastikan mata ketiga menjadi miliki pasukan negara apabila dia turut beroleh kejayaan mudah ke atas Gerelsukh Jargalsaikhan 21-7, 21-5.
Beregu kedua negara, Aaron Chia-Tee Kai Wun dan perseorangan ketiga, Eogene Ewe tidak perlu memerah keringat dengan kemaraan ke suku akhir telahpun disahkan menerusi kemenangan 3-0 tersebut.
Kejayaan skuad lelaki negara mara ke suku akhir pada Sukan Asia adalah kali pertama sejak edisi di Incheon, Korea Selatan pada 2018.
Pada temasya di Hangzhou, China empat tahun lepas dan Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia, Malaysia tersingkir seawal peringat 16 terbaik.
Bagaimanapun, berdepan Indonesia yang diletakkan sebagai pilihan pertama di suku akhir, esok, bukanlah laluan mudah buat skuad kebangsaan dengan kekuatan di semua posisi berpihak kepada negara tetangga itu. – UTUSAN











