PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli berjaya mendaki ke tangga ketujuh dalam Kejuaraan Dunia Moto3 selepas menamatkan aksinya di kedudukan kesembilan pada Grand Prix (GP) Motosikal Austria, semalam, dan kini bersedia mengalihkan fokus ke perlumbaan di benua Asia bermula di Jepun 2-4 Oktober ini.
Kejuaraan Motosikal Dunia selepas ini membuka tirai pusingan Asia bermula pada GP Jepun di Mobility Resort Motegi, kemudian disusuli GP Indonesia, GP Australia dan kemuncaknya saingan di laman sendiri iaitu GP Malaysia, 30 Oktober-1 November ini.
Dalam aksi di Litar Red Bull Ring, Spielberg, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mempamerkan kebangkitan cukup baik untuk menamatkan saingan di tempat kesembilan dengan catatan masa 33 minit 45.917 saat (s) , sekali gus mengutip tujuh mata berharga.
Keputusan itu membolehkan Hakim Danish melonjak satu anak tangga ke kedudukan ketujuh keseluruhan pada Kejuaraan Dunia Moto3 selepas mengumpul 101 mata.
Mengulas mengenai perlumbaan di Austria, Hakim Danish berkata, dia berjaya menamatkan saingan di tempat kesembilan selepas bermula dari petak ke-15.
“Pada awal perlumbaan, saya melakukan permulaan yang baik dan cuba memacu jentera semaksimum mungkin sehingga berjaya memperbaiki beberapa kedudukan.
“Bagaimanapun, pada pertengahan saingan, saya agak bergelut kerana terlalu memaksa jentera hingga melakukan kesilapan yang menyebabkan saya ketinggalan semula ke belakang,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut pelumba berusia 19 tahun itu, menjelang penghujung perlumbaan, dia berusaha untuk bangkit semula dan memecut bagi memintas beberapa pelumba di hadapannya.
Hakim Danish menjelaskan, keserasiannya dengan jentera juga bertambah baik dan berterima kasih kepada pasukan yang bekerja keras sepanjang hujung minggu lalu.
Bercakap tentang perlumbaan yang memasuki ke benua Asia, anak jati Terengganu itu memberitahu, dia amat teruja untuk menghadapi perlumbaan seterusnya di Asia, khususnya di Jepun dan bertekad untuk mencatatkan keputusan yang lebih cemerlang.
Perlumbaan di Austria dimenangi pendahulu kejuaraan dunia daripada CFMOTO Gaviota Aspar Team, Maximo Quiles dengan catatan 33 minit 24.323 saat (s), diikuti Brian Uriarte (Red Bull KTM Ajo) di tempat kedua (33:26.657s), manakala rakan sepasukannya, Alvaro Carpe di kedudukan ketiga (33:31.717s). – UTUSAN











