Saya lambat miliki mikrofon sendiri sebab suka simpan duit - Haqiem Rusli - Utusan Malaysia

Saya lambat miliki mikrofon sendiri sebab suka simpan duit – Haqiem Rusli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Haqiem Rusli mengakui sikapnya yang gemar berjimat cermat dan menyimpan wang menjadi antara faktor utama mengapa hanya kini dia terbuka hati untuk membeli serta memiliki mikrofon peribadi sendiri.

Menurut Haqiem, pembelian mikrofon yang ditempah khas itu disifatkan sebagai satu pelaburan besar dalam kerjayanya sebagai penyanyi, malah merupakan mikrofon pertama yang dimiliki sepanjang bergelar anak seni.

“Memang saya jenis yang suka menyimpan duit dan berfikir panjang sebelum membuat pembelian yang melibatkan kos besar. Sebab itu saya selalu tangguhkan hasrat untuk memiliki mikrofon sendiri walaupun ramai rakan industri sudah lama menggunakannya.

“Kalau dibandingkan dengan rakan-rakan artis lain seperti Hael Husaini, Ernie Zakri dan Khai Bahar, saya mungkin antara yang paling lewat membeli mikrofon sendiri. Mereka sudah lama memilikinya, tetapi saya baru sekarang terbuka hati untuk melabur dalam perkara ini,” katanya.

Haqiem berkata demikian ketika ditemui fi Konsert Tonton Soundstage di Zepp Kuala Lumpur, semalam.

Ditanya mengenai harga mikrofon tersebut, penyanyi berusia 28 tahun itu bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar yang dibelanjakan, namun mengesahkan nilainya berada dalam lingkungan lima angka.

“Saya tidak mahu berkongsi harga tepat kerana bagi saya itu perkara peribadi. Apa yang boleh saya katakan, nilainya memang dalam lingkungan lima angka. Ia bukan pembelian yang murah, tetapi saya melihatnya sebagai satu pelaburan untuk kerjaya,” ujarnya.

Menurut penyanyi lagu Mimpi itu, keputusan membeli mikrofon berkenaan banyak dipengaruhi isterinya, Anis Sofia, yang sentiasa memberi galakan agar dia tidak terlalu berkira untuk melabur dalam perkara yang boleh meningkatkan mutu kerjayanya.

“Sofia selalu cakap tidak salah untuk berbelanja bagi sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada kerjaya. Saya pula memang jenis yang suka menyimpan dan kadang-kadang terlalu banyak berfikir sebelum membeli sesuatu.

“Dia banyak meyakinkan saya bahawa jika sesuatu perkara itu boleh memberi kepuasan dan membantu meningkatkan kualiti kerja saya sebagai penyanyi.

“Maka tidak salah untuk membuat pelaburan walaupun harganya mahal. Disebabkan itulah saya akhirnya membuat keputusan untuk membelinya,” katanya.

Tambah Haqiem, selepas menggunakan mikrofon tersebut, dia dapat merasakan perbezaan yang cukup ketara terutama dari segi kualiti bunyi ketika membuat persembahan.

“Sejujurnya saya memang terkejut apabila menggunakannya buat kali pertama. Bunyi yang saya dengar melalui ear monitor jauh lebih jelas dan premium berbanding sebelum ini.

“Apabila kita dapat mendengar vokal dan muzik dengan lebih baik, keyakinan ketika menyanyi juga meningkat. Saya percaya jika pengalaman mendengar di pihak penyanyi lebih baik, hasil yang diterima oleh penonton juga akan menjadi lebih berkualiti. Sebab itu saya rasa pembelian ini sangat berbaloi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Haqiem turut mendedahkan dia kini sedang melalui proses penjenamaan semula yang melibatkan perubahan dari segi penampilan dan imej diri.

Menurutnya, perubahan tersebut juga banyak didorong oleh isterinya yang sering mengingatkannya tentang kepentingan evolusi dalam kerjaya seni. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN