Taliban tangkap 30 wanita langgar peraturan pemakaian hijab

Taliban tangkap 30 wanita langgar peraturan pemakaian hijab

DUA wanita Afghanistan yang lengkap memakai burka berjalan di depan anggota keselamatan Taliban di Jalalabad. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HERAT: Sekurang-kurangnya 30 wanita ditahan pihak berkuasa di bandar Herat, barat Afghanistan, atas dakwaan melanggar peraturan pemakaian yang dikuatkuasakan kerajaan Taliban, menurut agensi hak wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam kenyataan semalam, agensi itu memaklumkan sebahagian daripada wanita terbabit dibebaskan selepas ditahan.

Kenyataan itu dibuat susulan tindakan pihak berkuasa menyuraikan protes yang diadakan bagi membantah penahanan berkenaan di daerah Injil, Herat, pada Selasa lalu.

“Penahanan ini meningkatkan rasa takut dan kebimbangan dalam kalangan wanita serta kanak-kanak perempuan di seluruh Afghanistan,” menurut kenyataan agensi itu, sambil memaklumkan ramai wanita yang ditahan dibebaskan selepas insiden tersebut.

Agensi itu turut mendakwa, pasukan keselamatan Taliban melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak, selain memukul sebahagian daripada mereka.

“Sekurang-kurangnya dua individu, termasuk seorang kanak-kanak lelaki, terbunuh manakala lebih 20 yang lain cedera,” menurut kenyataan itu.

Media tempatan melaporkan, pegawai daripada Jabatan Promosi Kebajikan dan Pencegahan Maksiat, yang berperanan sebagai polis moral Taliban, menahan beberapa wanita beberapa hari sebelum protes tercetus kerana didakwa gagal mematuhi peraturan pemakaian hijab.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan menafikan laporan wanita terbabit ditahan.

Sejak kembali berkuasa di Kabul pada 2021, Taliban mengenakan pelbagai sekatan ketat terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan di negara yang dilanda peperangan itu, termasuk mengehadkan akses kepada pendidikan, pekerjaan dan aktiviti sukan, sekali gus mencetuskan kecaman masyarakat antarabangsa.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×