KUALA LUMPUR: Menteri-Menteri daripada UMNO diingatkan untuk tidak pernah melupakan akar umbi parti itu kerana mandat yang diperoleh itu adalah daripada perwakilan.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamdi berkata, setiap langkah yang diambil perlu sentiasa tidak melupakan parti itu.
Katanya, ini kerana keberadaan UMNO di Putrajaya adalah hasil percaturan di Menara Dato Onn.
“Saya nukilkan secara ringkas latar belakang perjalanan kita selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai ingatan untuk meneruskan langkah, selepas perhitungan rakyat pada PRU15.
“Kita perlu sentiasa ingat, walaupun kita berada di Putrajaya, nadi kita tetap di sini, di rumah agam UMNO ini.
“Rakan-rakan diatas jangan pernah lupa dibawah, tanpa ada di bawah mustahil ada diatas ini. Apabila diberi mandat, kuasa, duduk dalam Jemaah Menteri, bukan atas kemampuan kita sendiri, tetapi atas mandat yang diberikan oleh perwakilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden UMNO di Perhimpunan Agung UMNO 2022 di sini. UTUSAN










