Gergasi Merah benam Kelantan TRW 6-0

Gergasi Merah benam Kelantan TRW 6-0

KIM Ji-Ho (kanan) meraikan jaringan Selangor FC dalam pertemuan dengan Kelantan TRW yang menyaksikan Gergasi Merah menang 6-0 di Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Selangor FC menepati ramalan apabila mudah membenam Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW) dengan keputusan 0-6 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam ini.

Skuad Gergasi Merah mendominasi perlawanan sejak dari sepak mula, sekali gus memperlihat jurang kualiti yang jauh mengatasi pasukan tuan rumah.

Bagaimanapun, Kelantan TRW berjaya peluang terbaik untuk mencetak gol awal pada minit ke-12 tetapi disia-siakan oleb Muhammad Asraf Alifuddin Yasin apabila sepakannya jauh tersasar sungguhpun hanya berdepan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman di pintu golnya.

Situasi itu bagaikan satu kejutan buat skuad kendalian Kim Pang Gon untuk tidak lagi membazirkan masa dan meledakkan gol pembukaan melalui rembatan jarak dekat Kim Jiho pada minit ke-25.

Berselang lima minit kemudian, pasukan pelawat menggandakan jaringan apabila Chigor Moraes menyempurnakan sepakan penalti yang diperoleh selepas dia dijatuhkan oleh Alexandre Yeoule di hadapan gawang tuan rumah.

Sang Gergasi Merah terus mengganas apabila Moraes meleakkan jaringan ketiga selang dua minit kemudian, sekali gus menambah koleksi jaringan peribadi keduanya bagi perlawanan hari ini.

Skuad kendalian Zairul Fitree Ishak kemudiannya cuba bangkit merapatkan jurang jaringan, namun jelas berdepan kesukaran memecah kubu Selangor dan kedudukan kekal 0-3 sehingga tamat separuh masa pertama.

Derita kem tuan rumah bertambah apabila Yeoule tertampan bola ke dalam gawang sendiri dalam percubaan untuk menyekat hantaran lintang leret dari pemain Selangor pada minit ke-58.

Sang Gergasi Merah terus menghukum Kelantan TRW melalui tandukan terbang Alvin Fortes pada minit ke-63 untuk gol kelima, disusuli jaringan hatrik Moraes untuk gol keenam selang dua minit kemudian, sekali gus memuktamadkan kemenangan bergaya Selangor.

Kemenagan dengan jaringan besar itu membolehkan Selangor mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga dengan mengumpul 46 mata dari 22 perlawanan, sementara Kelantan TRW kekal di tangga ke-12 dengan 15 mata dari 22 perlawanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×