Exco tempelak individu politikkan surau, masjid di Selangor - Utusan Malaysia

Exco tempelak individu politikkan surau, masjid di Selangor

Masjid Selangor
MOHD. ZAWAWI AHMAD MUGHNI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mohd. Zawawi Ahmad Mughni menempelak tindakan seorang penulis yang mendakwa masjid dan surau di Selangor sunyi daripada program keagamaan menerusi artikelnya yang diterbitkan semalam. 

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam,  Pengguna dan Industri Halal Selangor itu menegaskan, masjid dan surau tidak wajar dipolemikan dengan agenda politik menerusi kenyataan-kenyataan mengelirukan.

Beliau berkata, kerajaan negeri meletakkan matlamat masjid dan surau sebagai tempat bebas daripada elemen politik demi menjaga kesuciannya.

“Masjid dan surau suatu tempat yang menjanjikan kedamaian ketika umat Islam beribadah dan mendengar ceramah ilmu dan bukannya ceramah politik kepartian sehingga menimbulkan keresahan dan kebencian antara anggota jemaah.

“Sehubungan dengan itu saya mengingatkan seorang penulis supaya tidak menyebarkan khabar bohong, fitnah dan cerita yang diada-adakan tanpa asas tentang institusi masjid dan surau di negeri ini,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik dalam media sosialnya hari ini.

Semalam sebuah portal menerbitkan artikel bertajuk ‘Kembalikan Cahaya Gemerlapan Islam Di Selangor’ yang ditulis oleh Yang Dipertua Pas Kawasan Bangi, Mohd. Shafie Ngah.

Artikel tersebut mendakwa kerajaan negeri berada dalam keadaan lebih baik ketika Pas menjadi sebahagian daripada pentadbiran sebelum berpecah meninggalkan Pakatan Rakyat pada 2015.

Malah, menerusi artikel itu juga  Mohd. Shafie mendakwa institusi masjid dan surau di negeri ini meriah dengan pelbagai program ketika Pas menjadi sebahagian daripada Kerajaan Selangor. 

Dalam pada itu, Mohd. Zawawi turut menegaskan sekatan terhadap penceramah sebelum ini adalah untuk memastikan individu bertauliah menyampaikan ilmu dengan niat yang ikhlas untuk memberi pencerahan dan kefahaman kepada jemaah.

“Tanggapan masjid dan surau tidak diuruskan dengan baik, adalah pandangan dengan niat tidak baik, fitnah atau cerita yang sengaja diada-adakan untuk menimbulkan kebencian kepada kerajaan negeri Selangor.

“Jadi dakwaan mengatakan bahawa penceramah dihalang menyampaikan ilmu di masjid dan surau di negeri ini (adalah tidak benar), kerana kita percaya enakmen dibuat di Selangor  adalah untuk menjaga kesejahteraan, kedamaian dan keharmonian rumah Allah yang suci,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya