SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor diingatkan supaya menegur rakan sekutu mereka, DAP berbanding menjadi batu api mencampuri urusan dalaman Perikatan Nasional (PN).
Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, berbanding mencampuri urusan PN, PKR sepatutnya lebih berani menegur DAP terutama melibatkan sensitiviti umat Islam yang menyentuh isu penternakan babi sehingga mendapat perhatian dan nasihat serius dari istana.
“Daripada sibuk mahu mengajar PAS tentang adab dan pendirian politik, lebih baik PKR menumpukan perhatian kepada isu sebenar rakyat Selangor seperti banjir berulang, kos sara hidup, peluang pekerjaan, masalah infrastruktur serta pelaksanaan titah Sultan Selangor yang sehingga hari ini masih gagal ditangani dengan tegas oleh kerajaan negeri sendiri.
“PKR juga sepatutnya lebih berani menegur rakan sekutu mereka dalam DAP yang secara terbuka mempertikaikan pelbagai perkara berkaitan kepentingan Islam dan sensitiviti majoriti rakyat termasuk isu penternakan babi di Selangor yang telah mendapat perhatian dan nasihat serius daripada pihak istana,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Jelasnya, malah kepemimpinan PKR dilihat terlalu berhati-hati dan membisu dalam isu melibatkan DAP.
“Tetapi bila melibatkan PAS dan PN, mereka begitu ghairah mahu mencetuskan persepsi serta melaga-lagakan pimpinan pembangkang,” tegasnya.
Semalam, akhbar ini melaporkan, PKR Selangor meminta pimpinan Pas negeri menyatakan pendirian berhubung kenyataan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu parti pada minggu lalu.
Timbalan Ketua Penerangan PKR Selangor, Khairul Izzat Nordin turut mempersoalkan sama ada Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri dan Datuk Shafie Ngah bersetuju dengan kenyataan yang dilihat memperlekehkan Presiden parti mereka sendiri serta mengapa mereka memilih untuk berdiam diri.
Tambah Mohamed Sukri, Pas tidak memerlukan PKR untuk menentukan hubungan dan pendirian dalam PN dan menasihatkan parti itu supaya menyelesaikan krisis dalamannya yang lebih serius.
“Hakikatnya, mereka sendiri sedang berdepan krisis dalaman yang sangat serius. Perpecahan dalam parti itu bukan lagi rahsia. Keluarnya tokoh-tokoh besar seperti bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli, Nik Nazmi dan beberapa pimpinan lain untuk membentuk parti baharu jelas menjadi ancaman besar kepada kekuatan PKR sendiri.
“PAS tidak memerlukan PKR untuk menentukan hubungan dan pendirian dalam PN. Kami tahu mengurus parti, menghormati kepimpinan dan menyelesaikan perkara secara matang. – UTUSAN










