‘Badang’ bimbang jadi mangsa angkara doping

‘Badang’ bimbang jadi mangsa angkara doping

NAIB Presiden PABM, Amirul Hamizan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu doping lima atlet pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022 bukan perkara terpencil kerana ia melibatkan undang-undang dan mungkin menyebabkan orang lain yang tidak bersalah menjadi mangsa.

Itu penegasan bekas jaguh angkat berat, Amirul Hamizan dalam isu melibatkan lima atlet Sukma, dua daripadanya pemenang pingat selepas disahkan oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) terlibat dengan penyalahgunaan bahan terlarang.

Ujarnya, mana-mana persatuan negeri tidak wajar memandang kes ini sebagai isu kecil kerana pihak yang mengambil sampel air kencing itu badan yang diiktiraf kerajaan dan antarabangsa, maka perkara ini akan menjejaskan status Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) di masa hadapan.

Lebih merunsingkan keadaan, PABM kini dalam usaha mengejar slot kelayakan secara merit untuk ke Olimpik Paris 2024 menerusi dua atletnya, Mohamad Aniq Kasdan dan Muhammad Aznil Bidin dan kes ini pastinya mengganggu keadaan latihan mereka.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Amirul berkata kedua-dua atlet tersebut ada menghubunginya dan meluahkan keresahan mengenai persiapan yang sedang dijalankan kerana bimbang jika kelayakan mereka akan dibatalkan ekoran kes ini.

Amirul turut meluahkan kekesalannya kepada persatuan negeri yang terlibat, kerana orang kini lebih banyak bertanya mengenai isu doping dan melupakan kejayaan luar biasa atlet angkat berat dalam Sukan SEA serta Sukan Komanwel 2022.

“Persatuan negeri selalu rasa isu doping hanyalah masalah dalaman sedangkan kes ini beri kesan kepada negara. Yang ambil air kencing itu ADAMAS, itu badan yang diiktiraf, bukan klinik swasta. Jadi macam mana mereka boleh rasa kes ini boleh diselesaikan secara dalaman?

“Keputusan doping ini, semua akan sampai juga kepada Kod Anti-Doping Dunia (WADA) dan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF). Undang-undang tetap undang-undang, denda tetap denda.

“Kita kena tunggu keputusan daripada IWF dan saya harap kita tidak dikenakan hukuman berat. Negeri yang buat salah tetapi badan induk kebangsaan yang kena. Persatuan negeri kena fikir misi negara untuk bawa atlet ke Olimpik. Atlet-atlet yang terlibat ini akan putus harapan.

“Aniq dan Aznil ada hubungi saya, mereka tanya status PABM jika kes ini berlaku lagi. Sebab itu dalam Sukma dulu PABM tidak bersetuju dengan penganjuran sukan ini kerana sedar akan kesan besar kepada penglibatan kita di peringkat antarabangsa kelak. Macam Aniq dan Aznil sekarang, mereka terpinga-pinga sedangkan dah buat persediaan ke Olimpik.

“Semasa mereka telefon, nada suara mereka seperti hilang harapan, persediaan sudah 90 peratus. Mereka tanya banyak perkara tetapi saya nasihatkan untuk tidak semakkan fikiran dengan semua hal ini kerana itu bukan tanggungjawab mereka. Saya kata, fokus kepada apa yang kamu mahu, kejayaan dan kemenangan,” katanya.

Tahun ini Aniq dan Aznil dijangka menyertai Kejohanan Asia 2023 di Korea pada Mei selain dua kejohanan wajib yang ditetapkan IWF iaitu Kejohanan Dunia Senior IWF 2023 di Arab Saudi pada September dan Piala Dunia IWF di Phuket pada Mac 2024 dalam usaha mengutip mata ke Olimpik 2024.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya