PETALING JAYA: Sektor Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) Malaysia dijangka terus berdepan tekanan penilaian meskipun berlaku pembetulan harga baru-baru ini, apabila kesan penghapusan insentif cukai pegangan belum sepenuhnya diambil kira oleh pasaran.
CGS International berkata, REIT tempatan masih belum mengambil kira sepenuhnya impak kehilangan kadar keutamaan cukai pegangan sebanyak 10 peratus, yang sebelum ini dinikmati oleh pelabur bukan korporat.
“Kami menurunkan penarafan sektor REIT Malaysia kepada “neutral” daripada “overweight”, dengan menyatakan pelabur berkemungkinan masih memandang rendah kesan sebenar terhadap penilaian.
“Pelabur dijangka masih menganggap rendah impak herotan penilaian ini,” katanya dalam nota penyelidikan.
Mulai 2026, Malaysia akan menghentikan kadar cukai pegangan istimewa tersebut.
Pelabur individu asing dan institusi akan dikenakan cukai sehingga 30 peratus ke atas pendapatan bercukai, manakala syarikat bukan pemastautin dikenakan kadar akhir 24 peratus.
Pelabur tempatan pula akan dikenakan cukai berdasarkan kadar individu semasa tanpa potongan cukai pegangan.
Perubahan ini dijangka memberi kesan lebih ketara kepada REIT yang mempunyai pegangan tinggi oleh pelabur asing dan institusi domestik, berikutan penyusutan hasil bersih (net yield compression) yang lebih besar.
Golongan pelabur ini juga lebih cenderung untuk menyusun semula portfolio mereka.
Analisis CGS menunjukkan kadar cukai purata wajaran sektor akan meningkat secara signifikan, daripada sekitar 1.1 peratus bagi KLCC Real Estate Investment Trust kepada 7.4 peratus bagi Axis Real Estate Investment Trust.
Bagaimanapun, REIT yang mempunyai pegangan tinggi oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLC), penaja dan pelabur strategik dijangka menunjukkan daya tahan harga yang lebih kukuh.
“Ini kerana kadar cukai efektif mereka kekal relatif tidak berubah, sekali gus meminimumkan tekanan terhadap hasil.
“Walaupun agihan keuntungan (DPU) REIT Malaysia dijangka kekal stabil, peningkatan beban cukai efektif akan meningkatkan keperluan pulangan pelabur, sekali gus menekan nilai saksama aset,” katanya.
Dalam persekitaran baharu ini, CGS menjangkakan tumpuan pelabur akan beralih kepada keupayaan pertumbuhan agihan pendapatan serta kualiti aset.
“REIT yang mampu mengekalkan pertumbuhan pendapatan stabil dan mengamalkan pengurusan modal aktif dilihat lebih berupaya mengimbangi tekanan penurunan penilaian secara struktur dalam jangka panjang.
“Perkembangan ini mencerminkan perubahan asas dalam landskap pelaburan REIT tempatan, dengan faktor cukai kini menjadi penentu utama dalam menilai daya tarikan sektor berkenaan,” katanya.-UTUSAN










