Tabuk, ARAB SAUDI: Hentian Rehat Al-Hijrah Wadi Satrah yang terletak antara Mekah dan Madinah bukan sahaja menjadi lokasi strategik yang berfungsi sebagai pusat kawalan pergerakan bas, tetapi juga respons awal kecemasan sepanjang operasi haji.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, hentian tersebut merupakan antara lokasi persinggahan penting jemaah haji Malaysia dalam perjalanan antara Madinah dan Mekah.
Beliau berkata, Pusat Panggilan Kecemasan Lebuh Raya (PPKL) Tabung Haji (TH) bertanggungjawab mengurus ketibaan bas yang berhenti di hentian itu bagi tujuan rehat, solat dan makan selama kira-kira satu jam.
“PPKL memainkan peranan penting sebagai pasukan pertama yang akan memberi bantuan sekiranya berlaku sebarang kecemasan di laluan jemaah haji antara Makkah dan Madinah.
“Lokasi ini berada di tengah-tengah antara Madinah dan Makkah. Ketika ini kita berada kira-kira 200 kilometer dari Makkah, manakala jarak keseluruhan antara Madinah dan Makkah adalah sekitar 440 kilometer,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Di hentian sama, PPKL berperanan sebagai pusat pemantauan dan penyelaras pergerakan bas jemaah haji di sepanjang laluan Mekah-Madinah.
Dalam pada itu, Pengurus PPKL, Mohamad Azir Shahril Ahmad berkata, pasukan itu bertanggungjawab memantau pergerakan bas antara bandar, mengendalikan ketibaan dan keberangkatan jemaah di kawasan rehat dan rawat (R&R), serta menjadi pasukan terawal digerakkan jika berlaku kecemasan.
Menurutnya, PPKL turut menyelaras maklumat antara Mekah dan Madinah serta menyediakan pelaporan pergerakan bas secara berterusan.
Beliau berkata, antara cabaran utama operasi ialah pemilihan lokasi hentian rehat yang strategik, kesukaran mengesan lokasi sebenar bas ketika kecemasan serta situasi ketibaan bas secara serentak dengan kekuatan petugas yang terhad.
Katanya, faktor cuaca turut menjadi cabaran apabila petugas berdepan cuaca panas terik serta risiko ribut pasir di kawasan padang pasir.
Menurutnya, persediaan operasi dilakukan lebih awal sebelum ketibaan kumpulan pertama jemaah, termasuk memastikan kemudahan asas seperti tandas, surau dan kawasan makan berada dalam keadaan baik, selain melaksanakan kerja penambahbaikan di lokasi.
Secara keseluruhannya, Hentian Rehat Al-Hijrah Wadi Satrah bukan sekadar lokasi persinggahan, sebaliknya menjadi hentian penting dalam memastikan kelancaran, keselamatan dan penyelarasan perjalanan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.-UTUSAN










