MEKAH: Dakwaan yang mengatakan mengambil gambar di Masjidil Haram boleh dikenakan denda sebanyak 10,000 riyal adalah tidak benar.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, namun ia tidak bermakna para jemaah boleh merakam gambar sewenang-wenangnya sehingga menjejaskan fokus ibadah.
“Saya nak maklumkan bahawa tiada masalah untuk mengambil gambar di sekeliling Kaabah. Tetapi adalah disarankan supaya mereka ini tidak membuat demikian semasa melaksanakan ibadah.
“Masa masa tawaf jangan buat video dan sebagainya kerana itu mungkin mengganggu ibadat mereka.
“Jadi untuk mereka mengambil gambar selepas tawaf dan mengambil gambar di di persekitaran Masjidil Haram, tiada masalah dan yang mengatakan kena denda 10,000 riyal tu adalah tidak benar,” katanya dalam sidang akhbar mingguan operasi haji 1447H/2026 di sini semalam.
Sebelum ini, tular di media sosial yang mendakwa pihak berkuasa Arab Saudi mengenakan denda 10,000 riyal atau bersamaan RM10,500 dan ditahan serta dihantar pulang ke negara asal kepada mana-mana pihak yang mengambil gambar atau video di Masjidil Haram khususnya di hadapan Kaabah.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Hisham berkata, operasi haji musim ini yang genap seminggu bermula secara rasmi sejak penerbangan pertama pada 18 April lalu berjalan lancar.
Katanya, setakat pukul 10 pagi Ahad, seramai 7,489 jemaah haji Malaysia telah tiba di Tanah Suci, dengan 2,630 orang berada di Mekah manakala 4,859 lagi di Madinah.
Menurutnya, sebanyak 25 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, Madinah mengikut jadual.
“Alhamdulillah, semua penerbangan berjalan lancar dan setakat ini tiba tepat pada waktunya,” katanya.
Beliau berkata, pergerakan jemaah dari Madinah ke Makkah turut berjalan seperti dirancang, membabitkan dua hingga tiga bas setiap hari mengikut kumpulan penerbangan masing-masing.
Katanya, bagasi jemaah dihantar lebih awal ke bilik penginapan, manakala setibanya di Makkah mereka diberi masa berehat sebelum dibimbing menunaikan umrah.-UTUSAN










