SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan hari ini mengumumkan hilang kepercayaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sekali gus menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
Pengumuman itu dibuat pada sidang akhbar khas UMNO Negeri Sembilan kira-kira pukul 10.15 pagi ini di Wisma UMNO negeri di sini.
Ia dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias serta 12 daripada 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) BN.
ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berada di Brunei atas urusan kerja. Namun, beliau dilaporkan menyokong pengisytiharan tersebut.
BN mempunyai sebanyak 14 kerusi daripada 36 kerusi di DUN Negeri Sembilan.
Pakatan Harapan (PH) pula mempunyai 17 kerusi manakala baki lima kerusi milik Perikatan Nasional (PN)
Jalaluddin berkata, UMNO BN Negeri Sembilan sangat berdukacita dan kecewa dengan krisis yang berlaku di negeri ini.
Menurutnya, sebagai sebuah parti yang sangat menghormati institusi adat dan Perlembagaan, BN mengambil pendirian untuk tidak mencampuri urusan tersebut.
“Kami Exco kerajaan negeri daripada UMNO BN tidak pernah dimaklumkan dalam sebarang perbincangan di peringkat kerajaan negeri dan hanya mengetahui krisis ini apabila keadaan sudah berada pada tahap kritikal sehingga menjadi perdebatan umum.
“Menteri Besar sewajarnya memainkan peranan dan menggunakan kebijaksanaan beliau sebagai Menteri Besar dalam krisis ini.
“Krisis yang berlaku ini dilihat bakal menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri dan secara tidak langsung memberi kesan mendalam kepada kestabilan Kerajaan serta keharmonian rakyat,” katanya.
Jalaluddin dalam pada itu berkata, kesemua ADUN dari BN dan UMNO di negeri ini juga mendukung penuh serta mempertahankan institusi adat dan perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, dan mahukan Kerajaan yang stabil supaya dapat memainkan peranan sebaik mungkin dalam pentadbiran negeri sekali gus dapat memberikan fokus kepada objektif mensejahterakan rakyat dan ekonomi Negeri. – UTUSAN










