Ketegangan berterusan Asia Barat ancam kestabilan harga minyak dunia

Ketegangan berterusan Asia Barat ancam kestabilan harga minyak dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketegangan secara berterusan di Asia Barat yang berisiko mencetuskan lonjakan harga minyak mentah global kini menjadi kebimbangan utama pelabur di seluruh dunia, menurut RHB Research. 

RHB Research berkata, sektor tenaga Malaysia pula dilihat masih lagi kekal berdaya tahan dalam menempuhi cabaran ketidaktentuan tersebut dengan baik setakat ini.

“Walaupun harga arang batu dan gas global menunjukkan kenaikan ketara susulan konflik geopolitik berkenaan, impaknya terhadap syarikat utiliti tempatan adalah minimum.

“la berikutan pelaksanaan mekanisme pelarasan kos bahan api automatik (AFA) membolehkan caj itu dipindahkan kepada pengguna akhir, dengan sektor tenaga kekal sebagai pilihan defensif,” katanya dalam nota penyelidikan.

RHB Research berkata, perkembangan positif itu turut disokong oleh kerangka kawal selia yang stabil serta pulangan dividen sekitar empat peratus hingga lima peratus dalam kalangan syarikat sektor utiliti sendiri.

Berdasarkan situasi berkenaan, ia menggemari beberapa saham sebagai pilihan iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), YTL Power International Berhad, Solarvest Holdings Berhad dan Samaiden Group Berhad.

Tambahnya, kesan kenaikan harga tenaga global terhadap TNB dan pengeluar tenaga lain dinilai adalah terkawal kerana sebahagian besar kos bahan api tersebut boleh disalurkan melalui AFA.

“Berasaskan kepada jangkaan semasa, pelarasan tarif pada Julai 2026 dijangka hanya melibatkan kenaikan kecil 0.08 sen/kWh, bersamaan peningkatan 1% berbanding kadar semasa,” katanya.

Di samping itu jelas firma penyelidikan berkenaan, walaupun harga gas Tier-2 meningkat, kesannya masih dapat diimbangi oleh pengukuhan nilai ringgit serta harga gas bersubsidi yang lebih rendah.

Dari sudut sensitiviti, ia menegaskan harga arang batu memberi impak lebih besar kepada tarif elektrik berbanding gas, kerana menyumbang sekitar 60 peratus daripada kos bahan api penjanaan tenaga.

Sebagai perbandingan jelas RHB Research, gas tidak bersubsidi hanya merangkumi 9 peratus kos, dengan setiap kenaikan AS$10 (RM39.52) setong minyak Brent hanya memberi kesan 0.01 sen kepada AFA.

“Bagi prestasi suku pertama 2026, TNB dijangka mencatat pertumbuhan 9 peratus tahun ke tahun yang disokong kadar cukai efektif rendah dan peningkatan hasil berasaskan aset terkawal,” tambahnya.

Selain itu ujar firma berkenaan, peningkatan perbelanjaan modal (capex) di bawah kerangka Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) turut diramalkan dalam memperkukuh asas pendapatan jangka panjang syarikat.

YTL Power pula berpotensi mendapat manfaat daripada kenaikan harga tenaga global, khususnya melalui operasi runcit elektrik di Singapura yang sensitif terhadap pergerakan harga tenaga.

Pada masa sama, RHB Research berkata, setiap kenaikan kira-kira AS$10 (RM39.51) harga minyak Brent dijangka meningkatkan margin keuntungan sebelum cukai kumpulan utiliti tersebut sebanyak dua mata peratusan.

“Dalam segmen tenaga boleh diperbaharui (RE), Solarvest dan Samaiden dijangka mencatat pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh didorong pengiktirafan projek solar yang semakin meningkat,” katanya.

Pelabur juga digalakkan mengambil peluang ke atas penurunan harga saham baru-baru ini, memandangkan impak perubahan dasar cukai eksport terhadap sektor solar dinilai adalah minimum.

Secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor tenaga, dengan TNB kekal sebagai pilihan susulan peranannya dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun risiko geopolitik kekal tinggi, struktur kos dilindungi dan permintaan tenaga yang stabil menjadikan sektor ini antara pelaburan paling defensif dalam pasaran semasa.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN