PETALING JAYA: Pro-Net, unit kenderaan tenaga baharu Proton melihat trend peralihan kepada kenderaan tenaga baharu (NEV) apabila Proton e.MAS 7 PHEV mencatat lebih 6,500 tempahan dalam tempoh dua bulan sejak pelancarannya pada Februari lalu.
Menurut kenyataannya, pembelian model tersebut datang daripada pelbagai peringkat umur, saiz isi rumah dan keperluan pemanduan, terutamanya oleh lelaki berorientasikan keluarga berumur 36 tahun ke atas.
“Apabila kos bahan api meningkat dan rakyat Malaysia semakin mempertimbangkan perbelanjaan jangka panjang, termasuk pengurangan kuota subsidi BUDI95 baru-baru ini, NEV semakin menjadi pilihan yang praktikal.
“Dengan pembeli mengutamakan penjimatan bahan api serta teknologi hibrid termaju, daya tarikan model ini mencerminkan peralihan lebih meluas di seluruh negara ke arah mobiliti elektrik bagi kegunaan harian dan perjalanan jarak jauh,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zhang Qiang berkata, dengan harga bahan api yang semakin meningkat dan isi rumah menjadi lebih peka terhadap kos jangka panjang, Proton e.MAS 7 PHEV hadir pada masa yang tepat untuk rakyat Malaysia.
“Pembeli menghargai kecekapan mod elektrik, jarak pemanduan yang disokong petrol, serta pengalaman pemanduan premium, semuanya pada tahap harga yang mampu milik.
“Kami berbangga dapat menyokong rakyat Malaysia dalam peralihan ke arah mobiliti yang lebih canggih dan menjimatkan dan akan terus menawarkan kenderaan yang meningkatkan pengalaman pemilikan mereka pada setiap peringkat,” ujarnya.
Pro-Net berkata, berdasarkan data, 75 peratus pembeli e.MAS 7 PHEV terdiri daripada lelaki berkeluarga, dengan majoriti berusia 36 tahun ke atas dan menggunakannya untuk perjalanan harian ke tempat kerja serta perjalanan hujung minggu.
Jelasnya, ini mengukuhkan daya tarikan e.MAS 7 PHEV sebagai sebuah kereta keluarga bagi mereka yang menghargai kecekapan tenaga elektrik untuk pemanduan harian, di samping fleksibiliti bahan api untuk perjalanan jarak jauh.
“Proton e.MAS 7 PHEV turut menyerlah berbanding model adik-beradik elektrik sepenuhnya, Proton e.MAS 7 dengan rekaan serta karakter yang berbeza. Bar lampu hadapan lebar penuh memberikan penampilan moden dan menonjol, manakala pilihan warna luar khususnya kegemaran ramai, biru Aquamarine menyerlahkan imej premium.
“Bagi menyokong gaya hidup seperti perkhemahan dan aktiviti luar, e.MAS 7 PHEV turut dilengkapi fungsi Vehicle-to-Load (V2L), membolehkan pengguna membekalkan kuasa terus daripada kenderaan,” katanya.
Tambahnya, berbanding generasi hibrid terdahulu (HEV) yang lazimnya berharga antara RM110,000 hingga RM150,000, e.MAS 7 PHEV memperkenalkan teknologi plug-in hybrid terkini pada harga yang lebih mampu milik, menjadikan kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik dimiliki untuk lebih banyak seisi rumah di Malaysia.
“Dengan harga bermula dari RM105,800 bagi varian Prime, ia menawarkan pintu masuk yang lebih berpatutan ke segmen PHEV C-SUV,” katanya. – UTUSAN










