SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dr. Afif Bahardin diarahkan keluar dari sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini oleh Speaker, Lau Weng San selepas membangkitkan usulnya yang ditolak, hari ini.
Beliau yang juga wakil Perikatan Nasional (PN) diarahkan demikian selepas tidak berpuas hati apabila Speaker menolak usul supaya merujuk Wong Siew Ki (PH-Seri Kembangan) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Weng San berkata, Afif diarahkan keluar digantung sehingga Rabu apabila enggan duduk dan meneruskan kekecohan di dalam dewan walaupun selepas dua amaran diberikan kepadanya.
“Taman Medan, keluar. Taman Medan dikeluarkan pada hari ini, esok dan lusa. Bentara sila keluarkan Taman Medan,” katanya pada penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2026.
Terdahulu, selepas penggulungan oleh Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han, Afif bangkit mempertikai tindakan Weng San menolak usul yang dikemukakan pada Khamis lalu terhadap Siew Ki.
“Dalam surat ini (makluman daripada Speaker), yang berhormat (Speaker) menolak usul ini untuk dibahaskan dalam dewan ini untuk merujuk Seri Kembangan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
“Speaker memberitahu, saya tidak memetik dengan jelas dan nyata bahagian mana isi kandungan ucapan Seri Kembangan yang dikatakan bercanggah dengan titah Sultan Selangor,” ujarnya. – UTUSAN










