Johor salur RM106.32 juta bantu mahasiswa

Johor salur RM106.32 juta bantu mahasiswa

MAHASISWA Johor mengambil gambar kenangan di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Anak Johor di Perantauan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Johor memperuntukkan RM106.32 juta bagi melaksanakan 18 inisiatif mahasiswa dan pembangunan bakat negeri itu tahun ini, termasuk untuk anak Johor yang sedang melanjutkan pengajian di luar negeri.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri memastikan anak Johor termasuk yang berada di perantauan terus disantuni dan tidak dilupakan.

“Peruntukan itu disalurkan menerusi pelaksanaan inisiatif berkaitan mahasiswa serta Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) sebagai usaha memastikan golongan muda negeri itu terus diberi sokongan kebajikan, pendidikan dan peluang kerjaya.

“Komitmen berkenaan turut memberi isyarat jelas bahawa anak Johor di perantauan, khususnya mahasiswa, tidak diketepikan daripada agenda pembangunan negeri,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri melihat golongan mahasiswa sebagai antara aset penting bagi mengisi keperluan bakat Johor yang kini bergerak ke arah menjadi sebuah negeri maju.

Usaha itu turut diperkukuh dengan prestasi ekonomi Johor yang merekodkan pelaburan berjumlah RM110 bilion, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada anak muda untuk kembali menyumbang kepada negeri kelahiran mereka.

“Selain peruntukan untuk mahasiswa dan pembangunan bakat, kerajaan negeri turut menyediakan RM13.6 juta bagi melaksanakan 10 inisiatif khusus untuk warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Johor tahun ini.

“Antara inisiatif kepada mahasiswa yang akan diteruskan ialah program Meh Balik Kampus bagi perayaan-perayaan lain selepas Aidilfitri.

“Pelaksanaan Bantuan Insentif Mahasiswa Anak Johor (IMAJ) juga akan diteruskan bagi fasa seterusnya, termasuk kemudahan Kad Siswa Johor,” katanya.

Perkara itu dimaklumkan sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anak Johor di perantauan yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC), Selangor, hari ini.

Majlis pertama kali diadakan itu menghimpunkan lebih 6,000 rakyat Johor di luar negeri, termasuk mahasiswa, warga Felda dan anak perantau.

Program tersebut bukan sekadar sambutan Aidilfitri, sebaliknya menjadi ruang kerajaan negeri menyantuni anak Johor di perantauan sambil berkongsi hala tuju pembangunan negeri.

“Ia juga bertujuan memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat Bangsa Johor dalam kalangan rakyat negeri itu walaupun berada jauh dari tanah kelahiran,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN