Orang Asli minta hentikan aktiviti pertanian sepanjang tengkujuh

Orang Asli minta hentikan aktiviti pertanian sepanjang tengkujuh

SEBAHAGIAN kawasan pertanian yang diteroka di kawasan Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, Kelantan-UTUSAN/IHSAN PENDUDUK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 3,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar yang tinggal di Tanah Tinggi Lojing di sini mahu semua aktiviti pertanian dan penerokaan tanah dihentikan sepanjang musim tengkujuh.

Penduduk terbabit mendakwa, aktiviti tersebut mendedahkan kawasan tersebut kepada risiko tanah runtuh, hakisan bukit dan banjir lumpur.

Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng mendakwa, penduduk Orang Asli masih trauma dengan kejadian runtuhan tanah sehingga mengakibatkan banjir lumpur di Kilometer 92, Jalan Gua Musang-Lojing, awal tahun lalu.

“Saya berharap pihak berwajib dapat membuat pemantauan rapi di kawasan berisiko yang membabitkan aktiviti kerja-kerja pertanian.

BAHAYA

“Aktiviti itu dipercayai boleh membahayakan bukan sahaja masyarakat Orang Asli tetapi juga  pengguna jalan raya yang sering melalui jalan Lojing,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Seorang penduduk, Jeksen Syarif, 53,memberitahu, setiap kali musim tengkujuh  penduduk Orang Asli akan diselubungi kebimbangan memikirkan masalah tersebut.

Katanya, ada dalam kalangan mereka hidup dalam keadaan berjaga-jaga sehingga tidak lena tidur malam.

“Kalau boleh kami mahu pekebun mengurangkan aktiviti kerja tanah buat sementara waktu ketika cuaca hujan.

“Bila habis musim tengkujuh mereka boleh mula balik kerana kesannya memang tinggi dan kami masyarakat Orang Asli yang tinggal di pinggir kawasan kebun akan jadi mangsa jika berlaku banjir lumpur atau tanah runtuh,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berharap pihak berkuasa khususnya Jabatan Alam Sekitar dapat memantau aktiviti berkenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti banjir lumpur, hakisan bukit dan tanah runtuh. 

Katanya, antara Kampung Orang Asli yang berisiko dengan ancaman itu ialah di Kampung Jedip, Kampung Sengsang, Kampung Brooke Lama, Kampung King Kong, Kampung Sangwai A dan B, Kampung Sendrop dan Kampung Bahong.

Semalam, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah mengeluarkan amaran potensi berlakunya tanah runtuh di beberapa kawasan ‘hotspot’ di empat negeri termasuk Lojing. 

JMG juga menasihatkan penduduk-penduduk yang berada di kawasan ‘hotspot’ agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling serta waspada terhadap tanda-tanda berlakunya ancaman tanah runtuh di kawasan kediaman masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya