Keluarga terkejut terima berita sepupu rentung dalam kebakaran

Keluarga terkejut terima berita sepupu rentung dalam kebakaran

YUSUFF Merican Kadir Shah Merican menunjukkan gambar sepupunya yang ditemukan rentung di Taman Bayam Indah, Lunas di Kulim. -UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Penemuan mayat seorang wanita bersama seorang lagi mangsa dalam sebuah pondok pengawal yang terbakar di Taman Bayam Indah, Lunas dekat sini semalam menimbulkan  tanda tanya kepada keluarganya.

Menurut sepupu wanita itu, Yusuff Merican Kadir Shah Merican, 35, mereka tidak mengetahui punca mangsa, L. Simbagam, 25, berada di tempat kejadian, selain tidak mengenali lelaki yang turut meninggal dunia dalam kejadian itu.

“Saya mengetahui kejadian itu kira-kira pukul 11.30 malam tadi setelah dimaklumkan seorang individu yang datang ke rumah memaklumkan mengenai kejadian menimpa adik sepupu saya itu.

“Kali terakhir saya menemui mendiang adalah kira-kira sebulan lalu apabila dia datang ke rumah saya untuk bertemu bapanya yang kurang sihat. Bapa mendiang tinggal bersama keluarga saya sejak beberapa tahun lalu selepas memeluk Islam,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azuan Hamdan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 10.54 malam.

Kata beliau, pondok tersebut mempunyai pintu jeriji besi yang dikunci dengan rantai besi dan anggota terpaksa memotongnya untuk melakukan pemadaman.

Tambah Yusuff Merican, mendiang sering berkunjung ke rumahnya untuk bertemu bapanya yang kini tidak sihat selain turut membantu membersihkan warga emas itu termasuk berbual-bual bertanya khabar.

“Ketika kali terakhir bertemu sebulan lalu dalam tempoh kira-kira 10 minit, mangsa kekal ceria dan kemudian pulang tanpa menceritakan apa-apa masalah dihadapinya,” ujarnya.

Seorang lagi sepupu wanita itu, J.Iswary, 36, berkata, dia mengetahui mendiang bekerja sebagai kerani di sebuah kedai kitar semula di pekan Lunas.

“Kami semua hairan kenapa mendiang berada di tempat kejadian dengan seorang lelaki yang tidak begitu kami kenali. Sama ada dia bekerja sebagai pengawal di situ atau hanya datang berjumpa rakannya pun kami tidak tahu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya