SAN SALVADOR: El Salvador pada Khamis memaklumkan bahawa ketua-ketua sebuah kumpulan geng berkuasa akan dijatuhi hukuman penjara beribu-ribu tahun atas pelbagai tuduhan yang mereka hadapi dalam satu perbicaraan besar-besaran.
Negara Amerika Latin itu sedang membicarakan 485 anggota MS-13, yang diklasifikasikan oleh Amerika Syarikat (AS) dan El Salvador sebagai organisasi pengganas.
Mereka didakwa melakukan 47,000 jenayah oleh kumpulan tersebut antara tahun 2012 hingga 2022, menurut dokumen mahkamah.
Salah seorang tertuduh ialah Borromeo Henriquez, 47, yang dikenali dengan gelaran ‘Little Devil of Hollywood’.
Dia kini sedang menjalani hukuman penjara 87 tahun setelah didapati bersalah melakukan 497 kes pembunuhan dan jenayah lain sejak 1998.
Menurut pihak pendakwaan, Henriquez boleh berdepan hukuman penjara antara 15,000 hingga 25,000 tahun.
Pejabat Peguam Negara El Salvador sebelum ini melaporkan terdapat 486 tertuduh secara keseluruhan.
“Dengan hukuman yang akan dijatuhkan oleh hakim, iaitu hukuman beribu-ribu tahun penjara, individu-individu ini pasti tidak akan keluar daripada sistem penjara,” kata Timbalan Pendakwa Raya bagi Jenayah Terancang, Max Munoz dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh pejabat media presiden.
“Malah, mereka tidak mempunyai tempoh hayat yang mencukupi untuk menjalani hukuman yang bakal dikenakan,” tambahnya.
Perbicaraan besar-besaran yang bermula pada April lalu merupakan yang pertama di El Salvador yang menyasarkan keseluruhan struktur kepimpinan sesebuah geng.
Presiden El Salvador, Nayib Bukele, mengisytiharkan ‘perang’ terhadap geng jenayah pada tahun 2022 dengan melaksanakan perintah darurat.
Langkah itu telah digunakan untuk menahan kira-kira 92,000 suspek anggota geng, kebanyakannya tanpa waran, manakala ribuan lagi kemudian didapati tidak bersalah. – AFP










