TASEK GELUGOR: Lelaki yang ditemukan lemas dalam sebuah kawasan takungan longkang di Kampung Kolam, Jalan Merbau Kudung, Sungai Dua di sini, semalam dipercayai merupakan seorang penagih dadah warga tempatan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, perkara itu dimaklumkan oleh saksi kejadian yang menjumpai mangsa kepada pihak polis.
“Berdasarkan keterangan saksi, mangsa kali terakhir dilihat kira-kira dua hari sebelum kejadian. Saksi turut memaklumkan bahawa mangsa merupakan penagih dadah, namun, tidak mempunyai sebarang perselisihan atau masalah dengan mana-mana individu di situ,” katanya di sini, hari ini.
Anuar sebelum itu berkata, mayat mangsa berusia 64 tahun itu dijumpai dalam keadaan terapung dan tertiarap oleh seorang lelaki yang dalam perjalanan untuk memancing di kawasan berhampiran.
Katanya, mayat berkenaan telah dikeluarkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) manakala Unit Pengesan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula telah menjalankan pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian.
Anuar berkata, setakat ini, tiada sebarang petunjuk atau barang kes yang boleh membantu siasatan dijumpai dan pemeriksaan mendapati, mangsa mengalami patah pergelangan kaki kiri yang dipercayai berlaku akibat terjatuh ke dalam longkang tersebut.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan mengesahkan bahawa punca kematian adalah disebabkan lemas dan tiada sebarang kecederaan lain yang mempunyai unsur jenayah ditemukan pada tubuh mangsa,” katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) buat masa ini. – UTUSAN










