Buruh Rohingya didakwa rompak rumah Razif Sidek

Buruh Rohingya didakwa rompak rumah Razif Sidek

SEORANG lelaki etnik Rohingya yang didakwa merompak kediaman bekas pemain badminton negara, Datuk Razif Sidek ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang buruh etnik Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompak bersenjata rumah legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek, Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Fawyas Yasin, 27, didakwa merompak dengan bersenjatakan pisau di rumah Mohamed Razif Mohd. Sidek, 64, di Jalan Damansara, Taman Tun Dr. Ismail di sini pada pukul 12.20 tengah hari, 19 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha membantah jaminan diberikan kepada tertuduh atas alasan Mohamad Fawyas tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah selain kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang telah tamat tempoh.

Katanya, lelaki itu juga tidak mempunyai alamat tetap yang boleh digunakan untuk mengesan keberadaannya selain mengetahui alamat saksi pendakwaan yang dikhuatiri boleh mengganggu saksi berkenaan.

“Walaupun tertuduh di bawah perlindungan dan memiliki kad UNHCR, semakan mendapati kad tersebut telah luput selain tertuduh tidak mempunyai alamat tetap.

“Selain itu, tertuduh juga mengetahui alamat mangsa yang juga saksi dalam kes ini dan dikhuatiri saksi-saksi akan diganggu. Mohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Fawyas diwakili peguam bela, Mansheel Kaur memohon jaminan diberikan atas alasan anak guamnya merupakan pemegang kad perlindungan UNHCR selain pencari nafkah utama bagi tanggungan isteri dan seorang anak.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 14 Julai ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN