Guru mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual, miliki bahan lucah

Guru mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual, miliki bahan lucah

SEORANG guru dihadapkan ke mahkamah atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas anak muridnya serta dua pertuduhan menyimpan bahan lucah. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang guru mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan dua pertuduhan memiliki bahan lucah.

Tertuduh, Mohamad Amirul Firdaus Awang Meran, 28, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di tiga Mahkamah berbeza terhadapnya di sini, hari ini.

Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Nor Aziati Jaafar, guru lelaki itu berdepan tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap mangsa berusia 11 tahun ketika itu, yang mana tertuduh mempunyai hubungan amanah dengan mangsa sebagai seorang guru.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam sebuah kereta Perodua Bezza di tapak parkir Taman permainan, Masai antara pukul 7 malam, 26 Februari 2024 hingga 8 pagi, 18 Ogos 2024.

Di hadapan Hakim Madihah Zainon pula, tertuduh berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual ke atas mangsa berumur 12 tahun yang mana tertuduh mempunyai hubungan amanah dengannya sebagai guru.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam sebuah kereta Perodua Bezza di tapak parkir Taman Permainan, Masai pada 8.30 malam, pada 16 Mei 2025 dan 8 malam, pada 27 Ogos 2025.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) Akta yang sama.

Tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Majistret Atifah Azimah Wahab pula, guru lelaki tersebut berdepan dua pertuduhan menyimpan bahan lucah di dalam telefon bimbit miliknya. Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Seri Wangi 1/1, Taman Perindustrian Plentong, Masai, kira-kira pukul 10.30 malam pada 21 Mei lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin, S. Manushri dan Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal masing-masing mencadangkan ikat jamin sebanyak RM20,000 beserta beberapa syarat tambahan.

Peguam mewakili tertuduh, Nur Zafirah Norizan memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah mengambil kira beberapa faktor termasuk pendapatan tertuduh sebanyak RM3,000 sebulan dan sudah berkhidmat selama lima tahun sebagai guru.

“Tertuduh yang kini bertugas di sebuah sekolah rendah di Masai menanggung ibu bapa di Terengganu berusia 50 dan 60 tahun yang menghidap penyakit saraf. Dia merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan menanggung adiknya yang masih belajar. Tertuduh juga didiagnos dengan gangguan kemurungan sederhana (moderate depression disorder),” katanya.

Ketiga-tiga mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM19,000 selain mengenakan tiga syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai, melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport. Mahkamah menetapkan 13 Julai untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN