Terpalit dengan kontroversi pada 2019 menaikkan nama Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau Cleo, 28.
Waktu itu, pelbagai spekulasi muncul mengenai anak kelahiran Pulau Pinang ini.
Namun beliau yang merupakan ibu tunggal dua anak ini tidak pernah sesekali gentar atau tercuit dengan hal yang pernah berlaku.
Baginya pengalaman lalu mematangkan diri. Beliau mahu terus terbang tinggi tanpa menoleh ke belakang malah tidak mahu lagi terpalit dengan mana-mana individu.
“Saya mahu jadi diri sendiri dan tidak mengejar populariti atau kontroversi. Buktinya, saya tidak mahu lagi bersolek tebal atau menggayakan pakaian yang tidak seiring dengan kerjayanya sebagai pendatang baharu dalam bidang politik,” katanya kepada Seri.
Pembabitannya dalam politik kerana minat malah beliau ingin dikenali masyarakat atas sumbangan, khidmat dan ‘boleh bekerja’ untuk rakyat, bukannya sekadar panggilan jelitawan.
“Persoalan mengenai imej seorang ahli politik wanita perlu cantik, ‘sedap mata memandang’ atau jelitawan adalah satu stigma yang agak lapuk, kerana wanita masa kini bukan saja perlu berimej sopan dan sederhana malah harus ada nilai intelek.
“Tanggapan yang perlu dihapuskan kerana adalah kurang sopan untuk menilai wanita hanya dengan rupa,” tegasnya.
Ditanya mengenai asal-usul nama Cleo, kongsi beliau pada awalnya ingin memberi nama Cleopatra kepada anak perempuannya dan meletak username di Instagram sebagai @cleopatra_x3, tidak menukar sehingga mempunyai pengikut dan ramai mengenalinya dengan nama itu sehingga hari ini. Malah nama itu juga merupakan nama panggilan oleh ahli keluarga dan teman rapat.
Mahu bantu masyarakat dengan pantas
Wanita berdarah kacukan Melayu, Cina dan Belanda ini lebih selesa bergerak sendiri sebagai calon bebas di Parlimen Batu untuk membawa satu pembaharuan dalam era politik.
Pendiriannya untuk membantu menyelesaikan masalah dan perkara berbangkit secara quick win lebih mendapat sokongan ramai terutama golongan muda.
Kata beliau, komen dan suara netizen di media sosial telah menjadi ‘pusat aduan’ paling pantas untuk terus memberi bantuan dengan segera.
“Saya bergerak membantu masyarakat dan menceburi politik sejak 2016 ketika saya bekerja di Batu dan sering berkongsikan hal-hal mengenai kawasan ini. Saya tidak sangka menerima komen netizen yang membuat aduan di media sosial saya.
“Daripada situlah saya bangkitkan isu-isu menggunakan platform saya sendiri dan selesaikan mengikut cara saya. Ia lebih efisien dan masyarakat boleh menilai kerja kita. Bayangkan, jika saya diberi mandat dan suara di parlimen, Inshaallah saya akan buat yang lebih baik kelak,” katanya.
Tambah beliau, menang atau kalah itu bukan soalnya tetapi sekiranya diizinkan Allah SWT, Cleo ingin membawa disiplin baharu dalam arena politik tanah air.
“Corak politik haruslah diperbaharui seiring dengan peredaran masa. Sebagai contoh, penyertaan wanita haruslah ditingkatkan dan digalakkan, cara berpolitik juga perlu lebih berhemah yang mana setiap calon atau wakil rakyat itu sendiri haruslah mempunyai nilai accountability yang tinggi dan perlu kurangkan politik kepartian,” katanya.
Selain pembabitannya dalam politik, Cleo juga sangat aktif dengan aktiviti kemasyarakatan, kebajikan dan sosial. Sifat keibuan yang tinggi dan menyayangi kanak-kanak membuatkan beliau sering terbabit dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi bantuan kepada anak yatim serta masyarakat yang memerlukan tanpa mengira bangsa, agama dan usia.
Pada 22 Jun lalu, Cleo meneruskan usaha dengan menubuhkan pertubuhan Perikatan Tindakan Wanita Kuala Lumpur iaitu Hetero Action Women Alliance (HAWA) dengan matlamat mengeluarkan seramai yang boleh daripada kelompok B40.
Sukakan cabaran, bekerja seperti lelaki
Perkahwinan di usia muda menjadi keterbatasan buat Cleo untuk meneruskan minat dan cita-citanya. Selepas bercerai tiga tahun lalu, beliau terus bangkit daripada kisah silam, mencari kekuatan diri dan semangat untuk tidak terus diselubungi sedih dan kekecewaan.
“Saya tidak mempunyai sebarang harta, tidak mempunyai duit dalam bank untuk jaga anak-anak dan tiada tempat tempat berteduh selepas bergelar ibu tunggal. Saya bawa anak-anak menumpang di rumah ibu ketika itu dan mencari kerja,” katanya.
Bagi yang menyangka Cleo merupakan wanita yang lemah-lembut, sangkaan itu tidak benar kerana beliau layak digelar wanita besi yang mampu menyaingi lelaki apabila menceburkan diri dalam bidang pertahanan.
“Saya terpaksa cari rezeki untuk anak-anak dan keluarga. Saya bertanggungjawab terhadap nenek, ibu dan dua adik serta dua anak ketika itu. Alhamdulillah saya diberi peluang untuk berkhidmat di salah satu syarikat pertahanan yang mempunyai nama di Malaysia.
“Saya belajar semua di situ sehingga berjaya membuka syarikat pertahanan sendiri selepas melihat kekuatan dan kebolehan dalam bidang pertahanan ini,” katanya yang pernah bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Kongsi Cleo, beliau kini mempunyai lesen bekal senjata api, peluru dan bom yang diusahakan sendiri membuktikan wanita sepertinya gemarkan cabaran dan ‘tidak mudah dipijak’.
“Saya juga pernah berkhidmat di syarikat pertahan dan keselamatan dan mempunyai security guard static serta bersenjata. Saya suka mengambil cabaran untuk buktikan pada diri sendiri yang wanita masa kini setanding dengan lelaki dari segi kemampuan dan kebolehan. Saya akan bekerja keras untuk memastikan peluang yang sama. Bagi saya, gender is just a word,” katanya kebolehan dan pengalaman dalam bidang pertahanan menjadi kekuatan untuk melindungi dan berkhidmat di kawasan Batu.









