Sejumlah 265,531 pengundi awal penentu mandat kerajaan PRU15

Sejumlah 265,531 pengundi awal penentu mandat kerajaan PRU15

PENGELUARAN kertas undi pos itu dilaksanakan bermula 31 Julai lalu oleh petugas pilihan raya di kesemua 245 DUN)dan satu bahagian Parlimen.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 265,531 pengundi dalam kalangan anggota polis dan tentera menjadi kumpulan pertama penentuan mandat kerajaan menerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam proses pengundian, esok.

Jumlah itu terdiri daripada 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).

Dalam pada itu, pelbagai pihak mula menjangka sentimen sokongan pasukan keselamatan ini yang dilihat condong ke arah parti pemerintah sekali gus mampu menjadi penentu kemenangan calon parti bertanding di kawasan mempunyai kem-kem tentera.

Persepsi lain yang sering ditimbulkan berhubung undi awal adalah pihak kerajaan boleh mengetahui mana-mana anggota tentera atau polis memilih parti mana. Ini berdasarkan nombor siri yang dicatatkan di kertas undi menyebabkan golongan ini ‘takut’ untuk mengundi pihak lain selain parti memerintah.

Mengulas dakwaan itu kepada Utusan Malaysia, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, setiap kertas undi dicatatkan nombor siri termasuk undi awal, namun setiap nombor siri tidak ditentukan kepada siapa kerana ia bergantung masa kehadiran pengundi itu.

Jelas beliau, jika pengundi datang awal, maka dia mendapat nombor siri awal tetapi siapa yang mengambil nombor siri berkenaan tidak boleh diketahui dan tidak dicatatkan memandangkan petugas pilihan raya bukan terdiri dalam kalangan pegawai tentera atau polis.

“Tidak mungkin sama sekali dapat diketahui siapa yang mengundi siapa sebab nombor siri itu bukan merujuk kepada nama seseorang, bahkan ia adalah untuk rekod SPR. Ia tidak ada rekod nombor siri ini adalah untuk pengundi bernama Ali, misalnya. Tidak ada, jangan percaya kepada dakwaan tidak betul.

“Undi itu adalah rahsia. SPR pun tak tahu, cuma kita dapat tahu trend sahaja secara keseluruhannya saluran itu mengundi parti mana. Siapa individu undi parti mana, kita tak tahu. Tidak ada kemungkinan untuk mengetahui pengundi awal ini undi parti mana.

“Kalau tengok keputusan lalu, pelbagai keputusan diperoleh. Ada polis undi pihak ini, ada tentera undi parti ini, terpulang kepada hak masing-masing,” katanya di sini semalam.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu, Barisan Nasional (BN) tewas kepada Perikatan Nasional (PN) apabila 17 daripada 18 saluran mengundi dalam kalangan anggota tentera di Sungai Udang dikatakan memihak kepada PN yang ketika itu parti memerintah kerajaan.

Situasi itu kali pertama berlaku dalam sejarah sejak merdeka di Sungai Udang biarpun BN menang 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang menyaksikan kerusi itu adalah kawasan pertama dimenangi atas logo PN.

Pada 2018, BN menang di DUN Sungai Udang dengan majoriti 2,229 undi yang pada ketika itu, Datuk Seri Idris Haron sebagai Ketua Menteri Melaka mendapat undi 10,073 mengalahkan calon PKR. Mohd. Lokman Abdul Ghani (7,844 undi), namun kali ini, calon BN yang juga merupakan Ketua UMNO Tangga Batu, Datuk Seri Ali Muhammad kalah kepada calon PN, Dr. Mohd. Aleef Yusof dengan majoriti 471 undi.

Berhubung nama pengundi tentera sudah ada di kawasan tertentu biarpun belum wujud kem di situ, Abdul Aziz berkata, perkara itu adalah di bawah prosedur Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menubuhkan kem-kem tertentu bagi keperluan pasukan keselamatan itu di kawasan berkenaan.

Katanya, misalnya kem itu tidak ada tetapi tiba-tiba ada tohmahan wujud kem, perkara itu boleh dilaporkan kepada SPR kerana suruhanjaya tersebut sudah mengambil tindakan untuk menyiasat mana-mana kawasan terlebih dahulu sama ada wujud atau tidak kem tentera sebelum menetapkan saluran-saluran mengundi awal.

Selagi tidak ada kem tentera di mana-mana kawasan, beliau memberitahu, selagi itu nama pengundi tidak ada di situ dan hanya pihak ATM membuat kemas kini berhubung maklumat pengundi awal jika ada dalam kalangan mereka bertukar tempat bertugas, bersara atau meninggal dunia.

Mengulas lanjut, kata beliau, SPR menerima data-data itu daripada pihak tentera dan polis, jadi sekiranya ada laporan mengatakan kem ini tidak wujud, SPR membuat penyiasatan.

“Maklumat kem-kem ini ATM melaporkan kepada SPR berapa ramai mereka ini yang layak undi awal. Pihak tentera melaporkan berapa ramai anggota mereka termasuk pasangan dan mereka ini mengundi mengikut tempat mereka bertugas.

“SPR akan melihat semua perkara itu ada atau tidak ada. Jadi kalau ada tohmahan itu, laporlah kepada SPR supaya SPR boleh menyiasat. Kadangkala tohmahan ini saja nak memburukkan SPR,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Aziz menasihati mana-mana pihak yang mempunyai dakwaan berkaitan rasuah, ia perlu dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukannya SPR kerana SPR tidak ada kepakaran dari segi rasuah.

Sementara itu, Geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, PRU14 tidak menunjukkan secara lazimnya pihak berkuasa keselamatan polis dan tentera yang menjurus kepada BN.

Katanya, tsunami politik 2018 sedikit sebanyak memberi tempias kepada golongan berkenaan dan terdapat perubahan angin sedikit undi golongan itu dikatakan beralih kepada Pakatan Harapan (PH).

“Tetapi bermula PRN Melaka dan Johor, terdapat sedikit perubahan daripada pengundi pihak berkuasa keselamatan berdasarkan statistik itu, maka perubahan angin pada PRU14 kembali kepada biasa.

“Itu positif kepada BN bagi undi PDRM dan ATM sama selari kepada penyokong tegar dan setia BN di Melaka dan Johor sedikit sebanyak kembali kepada asalnya. Saya jangka peralihan angin pada PRU14 itu tidak akan berlaku tetapi menjadi seperti kelazimannya yang mana 80 atau 90 peratus daripada pengundi ini akan menyokong BN,” katanya.

Menyokong pendapat sama, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Jeniri Amir berkata, sentimen undi tentera dalam sejarah PRU ada sedikit penurunan undi pada PRU14, tetapi PRU15 kali ini menunjukkan akan ada peningkatan ketara sokongan kepada BN.

“Saya fikir mereka juga sedar bagaimana nasib di bawah PH, bukan saja tentera tetapi penjawat awam lain sedar nasib mereka,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya