PETALING JAYA: Harga diesel tanpa subsidi bermula esok hingga 29 April ini turun sebanyak 85 sen iaitu RM5.12 seliter berbanding RM5.97 seliter sebelum ini.
Kementerian Kewangan berkata, harga RON97 tanpa subsidi pula turun 25 sen, dijual pada kadar RM4.85 seliter berbanding RM5.10 seliter.
Sementara itu, harga runcit RON95 juga turun sebanyak 15 sen iaitu RM3.87 seliter berbanding RM4.02 seliter.
“Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) untuk minggu ini, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia dan harga runcit petrol RON95 dan RON97 diturunkan berikutan penurunan harga pasaran antarabangsa.
“Penurunan harga minggu ini adalah berdasarkan formula APM yang mengambil kira purata harga minggu terdahulu.
“Walaupun terdapat pelarasan, harga petroleum kekal tinggi berbanding paras sebelum konflik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata kenyataan itu, dengan konflik di Asia Barat yang berlarutan, kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan semasa dan mengambil langkah terbaik.
“Ia bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan api, di samping melindungi rakyat serta sektor ekonomi daripada impak penuh gangguan rantaian bekalan,” katanya.
Kata Kementerian Kewangan, walaupun harga minyak global menunjukkan tanda penyusutan, ketidaktentuan pasaran tenaga masih berterusan dan pemulihan bekalan tidak berlaku serta-merta.
“Gangguan kepada kemudahan pengeluaran di Asia Barat serta rantaian logistik dan penghantaran global memerlukan masa untuk kembali stabil.
“Sehubungan itu, Kerajaan Madani akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga.
“Dalam tempoh ini, rakyat diseru untuk terus menggunakan bahan api secara berhemah bagi membantu memperkukuh kestabilan bekalan negara,” katanya. – UTUSAN










